Sabtu, 4 Disember 2010

kawan

dulu, aku pandang dia sebagai kawan
sabtu itu, kita borak sebagai kawan
senyum kau, aku kira itu daripada seorang kawan
aku fikir kau cuma sebagai kawan

tapi sampai satu hari,
aku rasa lain
aku jatuh suka pada kau rupanya
aku pandang kau sebagai crush
aku suka 'hai' kau tu, walau sekali cuma
aku tunggu senyum kau
aku tunggu semuanya

kalaulah sampai satu hari
ada tarikh luput daripada sukakan kau
adakah aku akan jumpa balik perasaan sebagai kawan itu?

Ahad, 21 November 2010

tulis dengan rasa
mungkin boleh membinasakan
cuma bergantung kepada hati
dan sedikit bantuan daripada akal
waraskah?

budak kelantan

Semalam saya tonton Budak Kelantan. Di televisyen. Saya suka dengan pengarah filem itu. Wan Azli Wan Jusoh. Sungguh. Baca blog dia macam woahhh. Tapi, saya tak berapa faham dengan mesej filem itu. 'Perempuan itu digunakan macam barang. Boleh di-pass-kan kepada orang lain macam itu saja. Mungkin saja laki yang baik pun boleh pass-kan perasaan seorang wanita/ girlfriend/gewe kepada kawan dia sendiri. Walaupun laki itu ada prinsip yang tersendiri'. Bukan tak faham la, tapi tak in dengan mesej tu. Tak rasa dan tak selam. Somehow, saya ada fikir mesej lain.

Pepatah bahasa asing yang diterjermahkan:

Anda adalah apa yang anda makan.
Anda adalah apa yang anda baca.

Saya tambah lagi; Anda adalah siapa yang anda kawan.

Kita tengok hidup Buchek. Hidup Jaha. Dua- dua lain, tak serupa. Seorang tu kira baik gila-lah. Muka baik, cara hidup baik, solat tak tinggal. Seorang lagi, pheww, perempuan dalam tangan, gaduh- gaduh nombor satu, samseng habis kot. Kedua- duanya ada hidup masing- masing dengan circle friends yang berlainan.

Baik vs jahat

Bagi contoh lah senang. Macam Jaha. Mungkin dia dah semulajadi sifatnya agak nakal masa kecil. Tapi perkembangan sifatnya yang jadi jahat boleh kerana dia hidup dalam lingkungan kawan- kawan macam tu. Kawan yang teman masa dia rogol perempuan, kawan yang ada untuk teguk air ( sampai sekarang tak tahu air apa tu, dadah ka?) dan jadi high atau kawan yang ada bila mau culik perempuan.

Semua itu terjadi bila kita berteman, berkawan. Kawan ada tiga pilihan. Sama ada join sekali, diamkan diri atau tegur. Dan selalunya yang kita panggil kawan bila sama- sama join buat sesuatu. Tak gitu? Dan semua jadi konflik bila baik jumpa jahat// Buchek jumpa Jaha.

Jadi, kawan yang macam mana kita ada? Kawan adalah refleksi diri kita walaupun tak seratus peratus sama. Kalau kita rasa kita ni 'baik', 'baik' macam mana kawan kita? Kalau kita rasa kita 'hot', 'hot' macam mana kawan kita? Kalau kita rasa kita ni budak 'rajin', 'rajin' macam mana kawan kita tu?

Kan ada hadis Nabi,

"Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wagi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk. (Riwayat al- Bukhari)

Ahad, 7 November 2010

28 hari: jurnal rock n roll

Ada satu perkara yang saya realise bila baca '28 hari: jurnal rock n roll' oleh mohd jayzuan. Lelaki memang mudah untuk jatuh kepada wanita. Walau cuma kawan. Walau cuma senyuman. Walau kita tiada apa- apa.

Sebenarnya, saya takut dengan pengakuan secara tak sengaja tu. Adakah semua lelaki macam tu? Walaupun cuma dengan kawan biasa?

Bisa buat hati mereka cair? Berdebar?

Dan rasanya saya faham kot bila tonton 'the mistress of spices'. OK, aishwarya rai memang cantik. Comel. Macam barbie. Sebab bila saya tengok dia, saya rasa dia mewakilkan yang wanita sememangnya cantik dan 'oh-patutlah-lelaki-mudah-cair'. Sebab itu, wanita kena pakai tutup- tutup kan. Bukan nak kontrok wanita, tapi nak kontrol nafsu laki yang mungkin dah sampai tahap ke mana- mana entah. Hihi.

Korang tak rasa ke yang semua orang sebenarnya cantik? Kalau betul dia gelap, rendah tapi sebenarnya dia ada bulu mata yang sangat lentik. Kalau betul dia gemuk, senyuman dia comel sangat dan muka masuk kamera (fotogenik). Kalau betul dia clumsy, cuba tengok pipi dia yang chubby, yang rasa macam nak cubit- cubit. Kita semua cantik. Tapi kita tak nampak. Jadi mari sematkan dalam hati yang "Saya cantik :D" ok, ok dah dah...

p/s: yang part johor bharu tu, apa telah terjadi? :(
p/s: mohd jayzuan buat saya gila dengan perkataan tenang, sepi dan kemurungan. Heh, dah lama tak kawan dengan kemurungan sebenarnya. Tapi saya tetap suka dengan perkataan tenang. 'Tenang' itu sah- sah bintang pujaan saya :D





Rabu, 3 November 2010

Ala, lupa lah. Patut tulis satu cerita. Saya sekarang dah malas nak couple. hihi. Bukan apa kan, cinta dulu yang ajar (yada yada, bacalah balik entri lama). Cinta tu ajar yang tiada yang pasti dalam dunia ni. Lebih kurang macam tu lah.

Lepas tu kan, lama- kelamaan saya sedar. Islam tak ajar semua tu. Atau sekurang- kurangnya, ada batas pergaulan antara lelaki dengan perempuan. Dengan sokongan (zzz)// ada rakan bantu saya tahan rasa suka saya kepada laki bila saya jatuh suka. Saya juga yang cakap, " lower your gaze and u'll be fine :)". Tapi siapa tak tahan bila dia senyum kat kita???

Nevermind, lower ur gaze. Tahan! Tahan! Kalau betul suka dekat dia, luah dekat Tuhan. Jangan luah dekat dia.Nanti hubungan kita dengan Tuhan renggang. Saya tak mau.

Lepas tu, saya jaga. Jaga. Bila pandang dia, alamak dia sungguh... Eh, tahan pandangan! Saya ada dua sebab kukuh untuk tidak perlu menguar-uarkan suka kepada orang. Satu, saya kurang cantik. Dua, saya kurang warak. Macam tak cukup bagus bukan? Cukup titik

Tapi kan, tapi kan, selama saya jaga pun untuk dia, saya lupa berjuta lagi homosapiens berjantina lelaki. Cakap dengan lelaki lain rilek. Borak- borak, kadang- kadang gelak- gelak. Sampai satu tahap, saya ada mengajar seorang lelaki ni. Tiba- tiba perasan tutor. Err, lebih kepada mengajar diri sendiri sebenarnya. Saya cakap dekat dia (lebih kurang begini), ajakla kawan dia ke ape. Kalau boleh, tak nak berdua ketika belajar.

Dia tanya, " Apasal? Kau takut kena tangkap ke?"

Mendidih hati gua bila ingat balik dia cakap macam tu. Woi, rendah sangat ke aku ni sampai fikir macam tu sekali. Kat library memangla tempat open. Dulu pun, ada ustaz pernah tangkap budak- budak kat sini kan. Tapi...

"Bukan, aku tak selesa la"

Kepada budak tu, memangla saya terasa hati tapi tak apa. Kata-kata awak itu menyedarkan saya. Walaupun dengan kawan, saya memang kena jaga batas kan. Apa perlu buat bila nampak member- member laki yang agak kamceng sekitar kolej?

1. Start je pakai tudung labuh. Biar respek banyak kat perempuan ni.
2. Senyum je bila nampak diorang dan teruskan perbualan dengan kawan perempuan.
3. "Hai korang!" *Sambil tangan melambai- lambai*
4. Tegur terus. "Wei, Laki A, Kau ....?"

Tau- tau je la langkah mana yang perlu digunakan wahai cik penulis. Jangan hanyut sudah. Yang pasti...

Ada cinta sebagai seorang hamba dan khalifah yang perlu diutamakan :D

rindu rindu

Ah, rindulah blog lama. Pinkshaker.blogspot.com
Rindu zaman tu, rindu idea yang mencurah- curah.
Rindu semua walaupun bila baca balik semua tulisan (saya masih simpan.hihi), semua macam hampeh. Banyak mengarut. Tulis macam bagus. Grr.

MAU BALIK IDEA- IDEA SAYA.

atau saya cuma boleh menulis bila ada perasaan?

Selasa, 2 November 2010

Boleh tak kalau permintaan saya lain daripada biasa?
Please please
T.T

Jumaat, 29 Oktober 2010

Apa rasanya kalau hati kosong? Apa rasanya kalau fikiran melayang jauh- jauh? Apa rasanya kalau menulis tak tentu hala? - Tanda hati yang berjiwa kosong.

Apa rasanya kalau kebaikan diri mahu semua orang tahu? Apa rasanya kalau sentiasa ingin dipuji- puji? Apa rasanya kalau hati mahu disanjung, dipuja, dirasa terer lebih dari orang lain? - Itu riak yang tak masuk syurga.

Hati saya betul- betul berjiwa pada satu Selasa, satu Sabtu, satu Ahad, satu Rabu dan setiap hari. Sekarang kena cari balik, sebab kadang- kadang, semua itu terbang melayang- layang macam bulu pelepah.

:')

Khamis, 16 September 2010

Lelaki jiwaku

Sekurang- kurangnya, saya makin kenal siapa saya. Seorang yang hatinya, malas berpasangan dengan lelaki lain. Tapi suka jatuh suka dengan laki lain.

Ngeee :)
Jatuh suka, suka, tiba- tiba hilang :) Kemudian, lakukan kitaran itu berkali- kali.
Dan selalunya, saya tak kenal pun siapa laki itu. Cuma tahu nama, dah cukup. Senyum, cakap? hehe. Tak payah kot.

Minta maaf, tiba- tiba jiwang.

Tapi, saya ada kawan. Kini suka bangkitkan hal cinta selepas pernikahan. Katakan tidak kepada couple. Yada yada yada. Saya suka juga. Tapi kadang- kadang cinta itu hadir. Oops, suka itu hadir :)

Cinta tiga tahun kemudian tiba- tiba hilang macam lilin birthday kena tiup padam. Yang ni ajar saya supaya stay away daripada cinta. Cinta sunguh- sungguh mana pun tak jadi juga kalau Tuhan tak izinkan. Cinta ini yang ajar supaya rilek- rilek lah dulu.

Lagipun, saya tak pandai memasak, tak suka kemas rumah, dan macam- macam lagi. Saya cuma boleh sediakan mulut untuk berdebat dan teman menonton tv. Hehe. Saya cuma berumur 18 tahun yang masih digelar budak. Cuma pandai teori sahaja.

Awak itu akan datang juga kan (kalau umur panjang. InsyaAllah). Jadi saya tunggu untuk jatuh cinta (bukan lagi suka) kepada awak dan terus lompat ke next stage. Boleh?

Darjah kesungguhan

Maaf kerana menjadi penangguh yang tegar. Procrastinator i am. Di saat cuma tinggal lebih kurang sebulan, aku sudah rasa pedih akan final. ERGGHHH.

TAPI...

Di bahagian ekonomi, darjah kesungguhan cuma 65%. Masih tidak faham keluk jangka panjang, jangka pendek. Masih tidak faham bagaimana mahu hurai kaitan jumlah hasil dengan darjah keanjalan. Aku cuma ngerti, di nota suruh aku hafal saja. Hafal apa kalau tak faham?

Di bahagian akaun, aku cuma boleh bersyukur. Setiap bab mudah mengalir dalam aliran otak ini (walaupun markah ujian tidak sesempurna orang lain). Tuhan, kalau betul aku pandai bersyukur, aku mesti kembangkan potensi ini bukan? Tapi aku tak buka- buka buku akaun. Dalam kelas baru membelek. Darjah kesungguhan? Tak anjal okeh. 35%.

Di bahagian matematik, sungguh aku suka matematik. Boleh aku jadi sebahagian yang kekalkan gred A final nanti? Boleh? Boleh? Boleh sama tinggi dengan bangsa yang terer itu?

Pengurusan perniagaan. ehemm tadi saya tertulis 'pernguruan'. Betul- betul teringatkan perguruan. Bidang yang saya mau dulu. Rupa- rupanya saya dapat tawaran untuk calon gantian. Saya ingat ini petunjuk tapi rupa- rupanya lepas solat istikharah terus dapat jawapan. Mak saya tak bagi. Alasan? Biar saja dalam hati. Nama pun calon gantian, bukan dia bagi semua yang kita pohon bukan? Okeh2, back to the topic, balik kolej nanti terus sambung nota lepas tu tampal dalam bilik. Sila angguk setuju sang penulis.

MUET. Saya mahu dapat band 5 tapi bagaimana???

Kalau jadi penangguh, aku boleh jadi juara. Boleh jadi pemegang pingat perak atau dalam top 5. Tapi kalau angan- angan, sentiasa jadi juara. Tak mungkin pengalah buat masa sekarang ni.

Tapi tarak mungkin penangguh yang tegar boleh capai setinggi- tinggi angan- angannya. Ada faham?

Isnin, 30 Ogos 2010

Merdeka ertinya kamu mengetahui sejarah lampau, mencari kekuatan bangsa dan menghargai. Kalau kamu hanya jumpa kelemahan bangsa kamu, janganlah sampai merendah- rendahkan bangsa itu. Kerana kamu juga terdiri daripada mereka.

Isnin, 26 Julai 2010

mak

wajah mak nampak tua. dan mak selalu kelihatan penat.
nampak sangat mak sangat jaga perihal kami lepas ayah pergi kan :|

saya sayang sangat sangat dekat mak :')

perakaunan vs sains

Benda yang paling tak cool bila orang cakap lebih kurang macam ni, "Oh akaun? Ala.. senang je kan?"

Dekat sini, budak perakaunan dikira minoriti. Budak perakaunan juga yang orang selalu pandang rendah. Untuk senangkan pembaca memahami mengapa budak akaun jadi mangsa,

1. Budak sains boleh jadi budak akaun, tapi budak akaun yang tiada asas, jangan harap boleh jadi budak sains.
2. Walaupun kau dapat D dalam matematik tambahan masa SPM lepas, kau tetap boleh diterima sebagai pelajar perakaunan di matrikulasi.
3. Kitorang ada satu subjek yang boleh diterima oleh semua golongan iaitu pengurusan perniagaan. Formula amnya adalah MENGHAFAL.

TAPI...
1. kalau senang sangat, kami boleh skor dalam setiap ujian. dapat je kertas daripada pensyarah, perghh gred A tertulis di hujung kanan bahagian atas kertas.

2. Kalau baca sekilas pandang nota ekonomi sebelum kelas, mesti tak faham apa- apa terutamanya keluk- keluk (atau maybe orang sains panggil, graf-graf). Kalau ada perkara yang faham pun, mesti topik am.

3. Apa guna belajar pengurusan perniagaan kalau formula yang kau guna, menghafal je. Bab- bab yang terdapat dalam subjek ni berkaitan dengan diri kita sendiri, dengan persekitaran. Jadi, lebih best kalau kau pandai kaitkan apa yang kau belajar dengan kehidupan kau. Ini bukan draf 'bagaimana nak jadi peniaga yang berjaya' sahaja, tapi ini adalah satu seni PENGURUSAN perniagaan untuk kau uruskan hidup kau.

4. Ada lagi tentang pengurusan perniagaan. Persamaan antara biologi dan subjek ini adalah mengahfal. Tapi, bilogi ada gambar rajah dan subjek perniagaan tiada. Dan boleh jadi, kami tertukar antara kepentingan, objektif, ciri- ciri dan fungsi. Dan aku pernah mengalami perkara macam ni.

5. Silibus matematik kitorang mungkin lebih mudah daripada jurusan sains. Tapi, kitorang ada tahap masing - masing dalam kecekapan menjawab matematik. Ada yang boleh terima direct, dan ada yang blur blur. Jadi, yang terer mesti jadi pandai pula untuk tolong kawan- kawan dia. Nak kedekut ilmu? (sila isi jawapan sendiri)

6. Budak akaun ada 4 subjek. Budak sains ada 3 subjek. Secara teknikal, kami lagi banyak kerja dan budak sains lagi rilek masa ujian- ujian.

7. Aku ialah budak akaun yang tiada asas perakaunan semasa tingkatan empat dan lima. Jadi, bagi golongan macam aku, aku lagi kena usaha keras. Naik turun jumpa pensyarah, tanya kawan, pergi kelas malam- malam, jadi blur, dan macam- macam lagi. Untuk satu bab sahaja, aku pernah belajar dengan empat orang pensyarah. Mungkin orang pernah kata subjek akaun paling senang (selain perniagaan), tapi bagi aku? Aku banyak tak tahu apa- apa. Dan untuk kuasai akaun, aku memang kena kerja kuat.

Ramai orang tanya aku; kenapa tukar akaun?
1. Sebab saja- saja.
2. Masa aku sekolah dulu, aku tak suka kimia. Aku tak boleh nak pergi dengan subjek ni walau secomel dan semanja mana pun cikgu aku tu. Bila masuk kelas kimia, aku jadi blank dan aku lagi suka berangan- angan dalam kelas. Kalau dua tahun dah aku membazir, sanggup lagi ke aku hadap walaupun untuk setahun (yang PADAT ni).
3. Aku mudah masuk untuk subjek- subjek ni. alhamdulillah.
4. Minat tu kena ada. Lagipun, aku banyak membaca tentang ekonomi dalam blog. Itupun yang ringan- ringan lah.

Kalau kau minat dengan sesuatu, semua benda akan jadi kan. InsyaAllah. Tak ade lah kau pandang rendah dengan kitorang. Perakaunan pun sesuatu yang tinggi apa. Cuma tahap pemikiran kita je cakap budak perakaunan matrikulasi senang. Kalau budak akaun yang nak pergi overseas, kita pandang tinggi pula kan. Mentaliti orang- orang kita macam tu lah.

*Termasuk aku sendiri.
*Ini tidak termasuk pelajar sains program dua tahun.
*Kalau aku terer pun dalam bidang baru ni, aku tetap akan ingat yang aku ni bebal dalam sains, kimia.






Ahad, 18 Julai 2010

Ego

Kalau ego seseorang itu tinggi, tinggilah. Tambah- tambah lagi kalau dia sering dipuji. Dan selalu rasa dia betul. Kalau tak kena cara, boleh meninggi suaranya.

Tapi.. setinggi mana pun ego di kepala, kepala jugalah yang berada di bawah sekali ketika solat. Kepala tu bahagian yang penting. Tak ada tangan sebelah, ok lagi. Tak ada kaki sebelah, boleh bertongkat. Kalau kepala tak ada?

Kalau awak pun sujud masa menghadap kiblat(yakni awak merendahkan diri di hadapan Yang Maha Esa), takkan depan manusia lain awak mahu sombong? Sangat tidak kool.

Sabtu, 17 Julai 2010

Rupa- rupanya aku lebih suka membaca. Dan suka memerhatikan persekitaran aku kemudian berfikir sehingga idea tu menjadi tepu dalam otak. Idea- idea bila nak study dan ber-ujian, pandai pula aku luahkan di kertas putih.

WHY????

bye.

Rabu, 30 Jun 2010

pantyliner

Bagi aku, pantyliner adalah perkara yang agak sensitif. Dulu, nak beli pad dekat pasar raya pun tak kisah.(Aku rasa pad lagi berat dan sensitif kepada aku). Muka selamba gila kot. Walaupun berurus niaga dengan lelaki.

TAPI...
di sini, kolej aku. Tadi, adalah satu ketika aku ingin pergi kedai runcit dalam kolej untuk membeli pantyliner. Masa tu, kebanyakan pelajar ada kelas. Aku tengok- tengok, tak ada pelajar lelaki. Yes! Yang ada pekerja lelaki adalah. Tua- tua dah. Bukan aku kisah sangat. Aku pun cepat- cepat ambil pantyliner dan bergerak ke kaunter. Dan, masa jalan tu, aku nampak dua lelaki masuk ke dalam kedai. Allah, kawan aku pula tu!

Kemudian, aku terus berlari dan meletakkan kembali pantyliner di atas rak.

Dan...sampai sekarang aku tak beli- beli pantyliner. Semua pasal aku malu dengan laki! wu wu

Selasa, 15 Jun 2010

Masjid

Lelaki A: Jumpa malam nanti kat masjid!
Lelaki B: Aku tak pergila malam nanti.
Lelaki A: Kenapa?
Lelaki B: Masjid tak suka aku.

LOL !!

Adab belajar dalam kumpulan versi sari

Dalam masih kejutan lagi. Fuhhh. Tadi, aku pergi siapkan kerja berkumpulan di bilik tutoran. Pada waktu malam. Dan ramai pelajar yang pergi study di sana dan mungkin ambil peluang belajar sambil dating. Aww, seronok kot main pegang- pegang, sentuh-sentuh. Pada suatu ketika, tiba- tiba datanglah pencegah maksiat kolej aka ustaz. Adegan amukan berlaku dan aku masih terasa tempiasnya. Hadiah pukulan dan lempangan telah aku tonton dengan getaran di jiwa. Dan aku juga dimarahi kerana berkumpulan campur jantina.

Kesimpulan: JANGAN MENJAWAB BILA LELAKI MARAH WALAUPUN KITA RASA KITA BETUL.

Ok, aku nak cakap pasal adab kan.

1.Berpakaian sopan dan menutup aurat. Nampak sempoi pun takpe. Kalau laki pakai kopiah, baju melayu berkain pelikat macam pulang dari surau pun nampak lagi comel. Hehehe. Takde la, maksud aku, anda akan lebih dihormati dan sukar untuk didekati oleh kaum hawa. Maksudnya, tak beranilah kitorang nak duduk rapat- rapat dengan awak kecualilah pakaian awak tak mencerminkan perangai awak.

2. Kalau boleh, berkumpulan sesama jantina. Sedangkan belajar al- quran pun lebih baik jika sesama jantina. Bukan melarang, cuma lebih baik. Ah, aku tak arif sangat hukum agama. Tapi, batas itu pandai jaga bukan? *Lepas nafas. InsyaAllah.

3. Jika ingin buat secara berkumpulan, konon- konon lebih efisien la kan, pisahkan meja anda. Jangan duduk rapat sangat. Jangan tenung sangat rakan lawan jantina anda. Dari mata turun ke hati. HEHEHE.

4. Guna masa sebaiknya. Jangan jumpa dengan kawan, alih- alih gi borak- borak pulak. A BIG NO-NO

Ini peringatan bagi saya juga. Sori guna aku, kemudian saya. Saya tulis sedap hati je.

Tulisan ini ditulis oleh perempuan yang bukan baik sangat pun, tapi ingin baiki diri walaupun tak sedar diri yang dia kadang- kadang suka fikir pasal laki je. Tak kool betul.

sayonara IPG

Dulu, aku belajar The Pearl dikarang oleh John Steinbeck, sebuah novel yang patut dipelajari untuk pelajar SPM di sesetengah negeri. Dan seperti biasa, kami belajar tema, watak, persoalan dan sebagainya. Dan pada dua watak utamanya iaitu Kino dan Juana, mereka mempunyai satu kepercayaan karut. Iaitu mereka tidak boleh terlalu excited atau mempunyai harapan yang begitu tinggi terhadap sesuatu kerana dipercayai tuah boleh lari.

Tanpa disedari, aku pun begitu.

Karut ke weh? Salahke aku buat begitu. Sebab hampir setiap kali akan jadi begitu. Bila terlalu cakap pasal sesuatu, mesti last- last tak jadi.
Dan begitu juga hari ini.

Hari ini adalah hari air mata aku. Aww, dramatik sangat kot. Tapi serius aku sedih. HMMM. Tak tercapai hasrat aku nak pergi institut pendidikan guru. Duduk sinilah maknanya. Aku tak tahu aku sedih sebab tidak dapat pergi sana, atau tak dapat lari daripada masalah. Ah kamonlah Sari, kau ingat Tuhan saja- saja ke nak buat macam tu dekat kau.

Keyakinan kau dalam Bahasa Inggeris dah makin meningkat. Miss Kong must be really proud of you! Jadi, sila dapatkan band 4 dan ke atas dalam ujian MUET nanti. Sila dapat 4 flat untuk kedua- dua semester ini. Sila gagahkan diri anda untuk mendapat biasiswa JPA nanti. Kata nak ambil Pendidikan Khas kan :') kalau tak pun Pengajian Asia Tenggara, TESL dan apa- apalah sedang beratur tunggu anda. Janganla sedih dah.

Dan jangan nak fikirkan benda- benda yang sakitkan hati kau lagi. Macam tuuut dan tuut. HEHEHE.

Dan mungkin bila aku sedih sangat, aku salahkan Allah. Aku tunjuk tanda protes. Segala batasan yang aku garis telah aku langkah. Aku berborak lebih- lebih dengan lelaki,aku cakap di telefon ketika azan berkumandang. Ala, azan kan banyak kali. Tapi susah dia (ahli keluarga) nak telefon. Astaghfirullah al-azim, ya Allah, aku lemah. Lemah sangat. Langsung tak boleh diuji dengan benda besar sebegini. So, u blame the God?

Aku dengan rendah dirinya, mengaku aku milik Tuhan yang Esa.

Dekat sini, macam dah jadi tempat luahan hati aku. Dah lama tak buat review filem atau buku. Mungkin pada masa lain. Cerita yang mukhtahir ditonton buat masa ini ialah The Secret Life of American Teenagers musim satu episod enam. Mungkin cerita ni lame, tapi ada aku kisah? Bai :)

Apa- apa pun, hanya kepada Allah kita berserah. Percayalah. Boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu,padahal ia amat buruk bagimu.ALLAH mengetahui,sedang kamu tidak mengetahui~(al-Baqarah:216)


Ahad, 13 Jun 2010

Realiti vs khayalan

Semalam, aku bermimpi duduk di sebuah bangku dengan seorang lelaki. Aku rasa aku ada hati kepada laki itu. Perasaan nafsuku naik dan aku terus blah dari situ.

Hari ini,aku menonton dua video di Youtube. Satu, filem pendek daripada pelajar uniten. Satu pasangan duduk di sebuah bangku. Satu lagi,aku tak ingat. hehe. Otak aku beku hari ini. Bila perasaan mula berkonflik, bila kaki tidak lagi cergas berjalan, aku banyak menghabiskan masa di katil.

Adakah duduk berdua di bangku kayu itu simbol cinta? Erghh, aku dah buta hati pasal cinta- cinta ni. Duduk di kolej pun, aku dah pasang niat awal- awal; datang untuk belajar dan bukan cari laki. Well, berkesan juga niatku ini. HEHEHE. Kalau cakap dengan laki pun, selalunya kawan lama je. Yang lain, tak ambil port. Kalau ada jumpa pun, seorang lelaki yang sangat- sangat baik. Kaki surau. Phew, tak tergamak aku nak rosakkan dia. Cakap pun sikit je, pastu blah. Tak sanggup den.

Please lah jumpa homosapiens yang boleh aku bertukar- tukar pandangan especially isu yang serius. Sebagaimana aku jumpa di internet, semahu itu aku ingin jumpa di alam nyata. (tak termasuk berdating dengan boyfriend di bangku kayu berdua- duaan).

Khamis, 29 April 2010

Islam berada di tengah- tengah

Ibn Taimiyah menyebut dalam Majmu'at al- Fatawa: " Sesungguhnya agama Allah adalah pertengahan antara yang melampau dan meninggalkannya(cuai). Allah tidak memerintahkan hambaNya sesuatu melainkan syaitan akan mengganggunya melalui dua cara. Syaitan tidak kisah mana satu dia berjaya. Sama ada secara ifrat(melampaui batasan agama) atau tafrit(cuai terhadap agama)

Ahad, 25 April 2010

Temu duga IPGM

Alhamudulillah. Harapan aku untuk menjadi cikgu telah mara satu langkah. Kini cuma beberapa langkah lagi untuk sampai ke tangga di mana aku menjadi pelajar di institut perguruan guru. Berlatih bercakap di hadapan cermin, berfikir dalam bahasa Inggeris, sediakan isi yang bernas, merujuk kepada internet dan lakukan sebaik mungkin pada hari temu duga. Oh ya, doa. Ini penting, menjadi keutamaan.

Aku rasa aku perlu ambil serius. Mula- mula, aku ingat senang untuk dapat panggilan temu duga. Tapi anggapan aku salah. Rupa- rupanya ramai yang tidak dipanggil termasuk yang memperoleh 9A. Aku terkejut. Kamu? Aku kurang kaya dengan A tapi masih mendapat peluang ini.

Sekiranya aku tak diberi peluang untuk meracun anak murid dengan madu nanti, aku ingin menyambung pelajaran dalam bidang psikologi. InsyaAllah. Bidang pendidikan ataupun kanak- kanak. Jiwa aku amat dekat dengan kanak- kanak pada waktu ini. hehehe.

Be serious, Sari!


Khamis, 22 April 2010

kepuasan berangan sebenarnya tak ada

Bila kita (saya) inginkan kepuasan, kita akan baca blog/flickr/facebook orang lain atau berangan akan hidup yang menjamin kegembiraan. Tapi hidup kita macam ni lah. Takkan menjadi macam tu kalau asyik membelek di internet.

Yang pasti kita boleh usaha, doa dan tawakal.Sambil- sambil itu, cuba belek hidup kita pula. Sebenarnya sudah ada yang best pasal hidup kita. Mahu extravaganza? Tambahkan ilmu. InsyaAllah ada punya hasilnya nanti :D

Rabu, 21 April 2010

Eh, gambar ni cantik!

Sambil menilik- nilik gambar di komputer, kamera ataupun dalam handphone, kita mesti rasa gambar tu cantik bila wajah kita cantik di dalamnya.

Tak kisah la kalau orang lain muka entah apa- apa. Janji kita cantik. Bila kita cantik, secara automatik gambar itu pun cantik.

Betul tak? Ahaa :D

Selasa, 2 Mac 2010

Laut lebih Indah dari Bulan


Pengalaman membaca antologi skrip teater Aku Nak Jadi Bintang (ANJB) dan Laut Lebih Indah Dari Bulan). Ada tiga perkataan di sini.

Ghairah. Gelap. Sakit.

ANJB dan LLIDB merupakan dua kisah yang bersambung daripada dua perspektif yang berbeza.Ghairah. Menjadi Indah dalam ANJB, anda memang akan merasa ghairah. Ghairah nak menjadi bintang. Ghairah berposing di depan kamera. Ghairah menanggalkan baju. Dan akhir sekali, pergi dalam kenikmatan ketika leher dijerut oleh laki yang dipercayainya.

Gelap. Saya tak tahu nak cakap tentang Johan (yang juga dikenali sebagai Laut dalam LLIDB). Dia seorang yang berkulit cerah. Perut buncit sikit. tapi ada banyak parut. Biasalah, masa kecil suka bermain di bendnag. Dalam ANJB, Johan tidak menarik perhatian saya pun. Sebab fokus utamanya pada jiwa Indah yang inginkan segalanya. Indah tak kisah apa- apa. Tapi dalam LLIDB, saya dapat rasakan kewujudan Johan sedikit demi sedikit. Dia baik kan. Tapi dia jahat, dia curang. Kalau tak ada baik, maka jahat pun tak ada kan. Makin lama, dia keliru dengan diri dia sendiri. Sebentar si isteri, dia dodoikan. Tapi selalu, isterinya dia tinggalkan. Dia bagi saya seorang yang gelap. Sebab kau tak boleh tahu apa yang dia sebenarnya di sebalik bayang- bayang. Dan tiap- tiap tengah malam, kerjanya melayan gambar- gambar lucah. Si isteri sangka dia buat kerja. Ah, come on lah laki, tak cukupkah si isteri di rumah sampai kena melayan nafsu menonton telanjang perempuan lain?

Kalau saya jadi Bulan (isteri Laut/Johan), saya akan rasa sakit. Sakit kerana dicurangi. Sakit membayangkan suami bersama isteri lain. Sakit yang sama dirasai dalam skrip teater 'Pokok Kelapa Sayang ' (PKS) ditulis oleh Khairunazwan. Dua watak yang berbeza. Jantina yang berlainan. tapi Bulan dan Hasyim (PKS) ada rasa sakit yang sama. Sakit membayangkan pasangan bersama yang lain. Cinta mereka tulus cuma...

Wuh, dua skrip ini adalah kegemaran saya. Dan ada tiga lagi skrip lain dalam buku ini: Matderihkolaperlih, Proses dan Lembu. Mana- mana saja skrip ini ada tunjuk satu yang ini iaitu kekacauan. Kacau yang memaksa kisah ini menjadi makin seronok untuk dibaca.

Isnin, 1 Mac 2010

baju yang tak ketat dan menarik, please


Dalam saat berkeluh- kesah bersolat di surau yang agak penuh itu, aku terpandangkan seorang perempuan Afrika bersolat dengan pakaiannya. Berjubah dan sehelai selendang. Alah, sempoinya dia sembahyang. Sedangkan, perempuan- perempuan tempatan semua mengambil telekung untuk dipakai menghadap Allah. Padahal, kami memang bertudung dan baju berlengan panjang. Jadi, kenapa perlu ada telekung?

Tapi, sanggupkah aku bersolat dengan baju berlengan panjang, tapi tunduk sikit pun boleh terselak nampak pusat atau di bahagian belakangku? T_T

Jadi, misi terbaru adalah melengkapkan almari dengan baju yang sesuai, labuh, sesuai untuk solat tetapi nampak menarik. Tak payah lagi berkeluh- kesah kalau kain telekung pendek sampai boleh ternampak kaki dan jarang. Baju labuh? Err, ada dua helai saja. HEHEHE. Dulu, bila dapat t-shirt yang melepasi bahgian punggung, rasa janggal tau. Sebab sudah biasa memakai baju paras pinggang (masih banyak dalam koleksi peribadi). Mula- mula pakai t-shirt sebegini, rasa macam perempuan baik sangat. Macam tak cool je aku ni. Tapi, bila lama- lama kan, dua t-shirt ni yang menjadi kegemaran. Boleh dikatakan tiap- tiap minggu pakai dua helai baju ni. Apa yang best lagi, tak risau sangat terselak bila pakai low waist jeans. HEHEHE.

Seluar? Seluar jeans straight cut. Memadai atau tidak? Boleh la kan?

Kasut? Stokin? Beres. ^^

Eh tudung? Mesti cari yang bukan jarang- jarang punya. Perancangan sudah ada. Misi sudah ditetapkan. Duit? HEHEHE sekali lagi. Duit tak masyuk la pula. Tapi, tak apa. Niat lebih kurang murni la tu. Harap Tuhan permudahkan urusanku. Oh Malaysia, mana lagi kedaimu yang menjual baju- baju labuh, berlengan panjang dan tidak jarang. Setuju dengan syurgahijab. Kalau boleh, tak nakla baju muslimah yang macam kanak- kanak itu T_T.

Isnin, 22 Februari 2010

Gadoh (2009)

Filem yang paling banyak mesej. Filem yang setiap babaknya tidak membazir. Filem pertama yang saya tahu "kenapa dia jadi macam ni", "oh.. dia nak buat perbandingan la tu", dan macam- macam lagi la. Mungkin saya yang baru belajar bahasa filem, baru pandai nak korek rahsia di sebalik cerita atau filem ini yang terlalu jelas mesejnya.

Filem ini bermula dengan adegan guru- guru bermesyuarat. Iyah, lepas budak- budak Melayu vs Cina bergaduh masuk surat khabar. Mestilah pengetua kena mesyuarat beb. Nak rotan terus tak ada guna sebab Kementerian Pelajaran sudah tahu. Media sudah tunjuk. Dan semua memberi tekanan kepada sekolah. Salah siapa mereka bergaduh? Dan lepas itu, saya boleh bayangkan tiap- tiap malam, berita di televisyen akan tunjukkan adegan bergaduh di sekolah lain pula. Orang awam mula memberi pendapat menerusi surat di akhbar- akhbar. Hujung minggu pula, ada satu muka surat penuh menunjukkan pendapat Ketua Pengarah Pelajaran/ ahli politik/ ulama. Dan lepas tu senyap saja. Tapi yang paling malu, sekolah yang menjadi perintis bergaduh tadi. OK, yang bayangan tadi tak ada pun dalam filem ini. hehe.



"Kita pisahkan mereka mengikut kaum masing- masing", cadang Cikgu Zainal. Dalam 10 minit pertama, filem ini sudah mahu menunjukkan kedangkalan Cikgu Zainal yang dianggap sebagai seorang yang kanan tapi dianggap antagonis dalam filem ini.

Mengasingkan pelajar tak akan menjadi, cadangan diadakan ceramah agama dan motivasi pula dikatakan untuk jangka masa pendek sahaja. Akhirnya pengetua memilih cadangan teater oleh Cikgu Anne. Tapi cita- citanya lebih kepada untuk menunjukkan perubahan kepada pihak kementerian dan pihak media. Perubahan untuk siapa? Prestasi sekolah atau budak-budak?

Kemunculan Encik Azman sebagai guru teater banyak membawa perkara (contoh: sindiran) kepada banyak pihak.

"I tak perlu masuk baju kat dalam ha? Sikat rambut belah tepi kan?", Encik Azman. Dan beberapa kemudian, Cikgu Zainal muncul dengan perwatakan yang sedemikian. Kalau cikgu tu dengar, mesti menyakitkan oh.

Encik Azman juga datang sebagai bekas pelajar yang pernah dibuang oleh pengetua di sekolah yang sama. Banyak yang sudah berubah, tapi masih ada juga tak berubah. Yakni pengetua tu sendiri. Menjatuhkan hukuman tanpa mendengar apa yang budak- budak tu ingin jelaskan sebagaimana yang telah terjadi kepada Encik Azman.


Encik Azman telah dilakonkan oleh Nam Ron yang juga salah seorang pengarah dan penulis lakonlayar filem ini. Bila saya tengok filem ini, yang saya tahu ialah saya jatuh hati dengan Encik Azman. Dia nampak sangat real. Nam Ron bagaikan membawa jiwa dan semangatnya dalam diri Encik Azman. Dia tidak nampak seperti berlakon tapi lebih kepada menjadi dirinya sendiri dalam kisah yang baru.

Perwatakan Cikgu Zainal yang mungkin pada luarannya seperti guru tipikal yang harus berbaju kemas. Ambil tahu masalah pelajar. Tapi personaliti guru ini akan membuatkan anda rasa "eeeee". Sebab cikgu ni suka berkepit dengan pengetua walhal bukan guru dalam bahagian pentadbiran. (Terdapat adegan yang menunjukkan perbualan Cikgu Zainal di bilik guru, dan bukannya di pejabat).

Secara ringkasnya, kisah ini menampilkan dua kumpulan pelajar yang bermusuhan (Melayu-Cina) dengan minoriti tersepit di tengah- tengah (India). Bagi mengembalikan maruah sekolah, persatuan teater telah ditubuhkan hasil kerjasama Cikgu Anne-Encik Azman (Cina- Melayu). [haha. nampak tak ironi di situ?]. Pelbagai usaha telah dilakukan bagi menyatukan pelajar- pelajar tersebut. Namun di sebalik kehidupan persekolahan, mereka mempunyai masalah dalam rumah yang sedikit banyak mencetuskan pergaduhan antara dua kumpulan ini. Ayah Khalil mencetuskan emosi apabila terpaksa bersaing dengan bangsa Cina dalam mengendalikan syarikat dan akhirnya mengambil cara mudah untuk mendapatkan tender. Heng pula perlu membantu ayahnya di gerai kecil. Mereka perlu berusaha keras kerana ayah Heng kata, "Kita Cina kena kerja. Tak kerja kita mati" dan "Kita bukan Melayu. Boleh makan, tinggal percuma". Bila kedua-duanya menghadapi tekanan, masing- masing mencari haluan dengan keluar dari rumah. Rumah= masalah. Di luar= aahhhhh. Lega!

Bagi saya, Linda merupakan watak tempelan. Dia nampak tidak penting tapi diperlukan. Tapi pandangan saya berubah apabila pementasan mereka dipentaskan (untuk tontonan Ketua Pengarah Pelajaran dan wartawan- wartawan).



"Cikgu kata aku bodoh, pemalas. Aku pergi sekolah nak belajar tapi diorang semua sibuk fikirkan tentang rating sekolah. Nak jadikan sekolah nombor satu konon. Eh, nombor satu untuk siapa? Untuk diorang atau kitorang? Aku tak suka hidup aku ditentukan. Aku nak tentukan hidup aku sendiri. Dekat sekolah aku dilarang untuk berfikir. Tapi aku diajar untuk mengikut. Ini bukan sekolah namanya, ini penjara!"- Linda.

Di sini, kemarahan Linda benar- benar meletus dan cikgunya yang mendengar cuma buat muka lain macam (mungkin setuju atau mungkin tidak setuju) dan pengetua ternganga. Amarah seorang perempuan bukan daripada perwatakan yang kuat bergaduh tapi lebih kepada luahan daripada mulutnya. Dan nampak di sini kekuatannya terserlah.

Bila menonton babak ini, saya teringat di sekolah. Bukan untuk membelakangkan guru- guru yang saya tahu jasa mereka, tapi cuma terfikir. Selepas percubaan SPM, suatu mesyuarat telah diadakan antara pihak pengetua dengan guru- guru. Bagi kelas pertama, pengetua bertanya mengapakah pelajar ini tidak mendapat bagus untuk subjek itu, ini dan sekian- sekian. Mesyuarat itu hanyalah antara guru- guru. Tapi, mengapa tidak pengetua berjumpa sendiri dengan pelajar. Tanyakan masalah kami, sebab tidak mendapat keputusan yang memberasangkan. Guru hanya di sekolah dan kami mempunyai kehidupan di luar sekolah. Adakah cikgu tahu jadual belajar kami? Adakah cikgu tahu masalah kami? Adakah cikgu memahami jiwa kami? Mengapa kami sendiri diwakilkan oleh cikgu? Adakah semua ini menjadi beban cikgu semata- mata?

Banyak yang boleh dikupas dalam filem ini. Bagai semua mahu diletakkan dalam filem ini tapi masih nampak tersusun dan teratur. Yah, kadang- kadang saya sendiri boleh jadi fobia dan rasis. Semuanya takut. Beberapa hari lepas, saya terjumpa rakan di sebuah restoran. Dan saya memandangnya sebagai seorang kawan. Yang menghabiskan masa bersama- sama dahulu walaupun tidak lama. Dan saya terlupa dia bangsa Cina.

Untuk menghapuskan rasis senang. Pandang mereka sebagai kawan, sebagai manusia. Dan pufff hilanglah semua itu.


kredit kepada: http://www.flickr.com/photos/pusat_komas/

Sabtu, 20 Februari 2010

Mr. Bean

Dia ada seorang sahabat baik. Dan melayannya sangat baik. Mereka pergi berkelah bersama- sama. Makan bersama- sama. Setiap kenangan manis dicipta bersama- sama. Dan sahabatnya ialah Teddy. Dibiarkan hidup dalam ilusi Mr. Bean. Sampai nak makan makanan Teddy pun, minta izin dulu. Nak curi duit Teddy dalam tabung pun, kena senyap- senyap. Nanti Teddy tahu.

Teddy pun ada tabung sendiri. Comel kan.




Sabtu, 13 Februari 2010

kanak- kanak

kanak- kanak
kalau diajar abc
masih teruja untuk menyebut alif ba ta
kalau pagi- pagi mereka mengeja perkataan rama- rama
petang pula, membaca iqra'

mereka yang kalau dimanja, mahu sering dipeluk atau didukung
bila rasa diperlukan, tangan kita dipegang erat
mereka yang dilayan bagai kawan
akan diajak bermain kejar- mengejar bersama mereka
kalau dihimpit, di situ jugalah teriak kedengaran
kalau disergah, lari semacam

kanak- kanak
masih kecil, mereka suka mewarnakan warna kelabu
kerana masih tidak dapat membezakan hitam dan putih
sekalipun mereka mahu saja jujur!

Khamis, 21 Januari 2010

Memori Seorang Tua

Cerpen ini aku baca dalam buku komsas terbaru tingkatan empat. Ditulis olehZahari Affandi. Dan aku rasa wow! . Boleh cerpen macam ni masuk dalam buku pelajaran sekolah? Best gila. Aku dapat bayangkan dalam buku rujukan nanti, nilai- nilai murni dia adalah seperti mengenang jasa, setia akan negara dan apa- apa lagi pasal kemerdekaan. Tapi yang wow bukan sebab tu. Tapi, sebab watak utama dia (Pak Itam) dibayangkan sebagai tokoh Angkatan Pemuda Insaf (API) dan pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Dan selalu masuk keluar penjara pada zaman Inggeris dan Jepun menjajah.

Cool gila buku komsas. Aku ingatkan negara anti kepada API dan PKMM. Sebab British kan tak suka mereka. Buku teks sejarah pun macam anti mereka. API dan PKMM ni selalu dikaitkan dengan komunis. Yang ironinya, dalam cerpen ni, Pak Itam sangat baik dengan seorang sarjan polis pencen yang dulu bertempur dengan Bintang Tiga. Ah, Pak Itam dengan Tuk Mat berjuang untuk bangsa, negara juga.

Siapa eh Zahari Affandi ni? Bila aku google, kebanyakan tulis tentang buku komsas terbaru ni. Sebab tu terselit nama dia sekali. Eheh. Cool gila!

*Sila tegur sekiranya ada silap ok :)

Rabu, 20 Januari 2010

Aduan : Saya nak ambil course itu

amaran: post ini akan menjadi suatu yang lameeee gilak.

Ke hadapan saudara profesor/ dato'/ guru kaunseling/ sahabat baik/ puan tempat tanya masalah dalam surat khabar mingguan:

Saya merupakan lepasan SPM yang kadang- kadang resah juga dengan keputusan SPM yang belum kunjung tiba lagi. Saya telah melayari banyak laman web kolej- kolej supaya saya dapat tahu ke mana hala tuju saya lepas ini.

Pilihan pertama saya adalah untuk memohon institut pendidikan guru dan jadi cikgu. Harapan saya adalah untuk meracuni pemikiran kanak- kanak dengan madu dan bukannya dengan gula. Sebab harga gula makin mahal dan juga berbahaya sekiranya diambil secara berlebihan. Saya juga ingin mereka tahu sejarah negara dengan mendalam dan bukannya secara olok- olok sahaja.

Sekiranya boleh, saya ingin menjauhkan diri saya daripada bidang sains tulen. Saya bukan nak khianat apa yang telah saya belajar selama dua tahun tapi hati saya bukan ke situ. Nak buat macam mana. Tapi saya suka Fizik! OK, berulang kembali ke tadi, saya suka sejarah. Bukan semata- mata pelajaran akademik di sekolah menengah sahaja. Jadi, macam mana hala tuju saya selepas ini? Kalau boleh, saya nak ambil Pengajian Asia Tenggara. Tapi, saya tak nak ambil STPM. Ada jalan lain tak? Kalau saya ambil asasi undang- undang atau ekonomi semua tu, boleh ke saya ambil Pengajian Asia Tenggara untuk ijazah?

Oh ya, bagaimana dengan peluang pekerjaan? Saya dulu ada berangan- angan. Nati pergi buat ekspedisi. Cangkul- cangkul. Jumpa batu inilah, itulah. Pastu, nanti jumpa kerajaan lama dekat Malaysia. Jeng, jeng jeng! Saya percaya, Malaysia ni tak habis korek lagi. Cuma terhijab lah kot daripada pandangan rakyat kita ni. Rasa macam dalam filem atau dalam Discovery Channel pula ( dan History Channel) hikhik.

Lepas tu, saya nak jadi penulis baru buku teks sejarah. Sebab saya rasa, buku teks sekarang ni suka cakap separuh- separuh. Rasa geram tau bila separuh lagi, baru kita dapat rasa terujanya tapi cuma dapat baca dalam internet jelah.

Saya pun berangan- angan nak ambil Masscomm dalam Journalism. Tapi, saya tak berapa pandai menulis sangat. Karang, tiba- tiba pula tak ada idea nak menulis. Hishhhh.

Kepada saudara- saudara yang tertera di atas, tolong bantu saya yang dalam dilema dan angan- angan ini. Sekian, terima kasih.


Isnin, 18 Januari 2010

9 nyawa

1. Tajuk novel ini mengaitkan mitos kucing yang dikatakan mempunyai 9 nyawa. Tengok kulit buku pun boleh tahu. hihi. Tapi, bukan kucing atau jadian kucing yang menjadi watak utama dalam novel ini. Intan Suryani, homosapien atau manusia yang didakwa mempunyai 9 nyawa. Tapi boleh percayakah sedangkan apa yang kita tahu, kita sebagai hamba Tuhan ni hidup sekali je. Alam roh- hidup di dunia-alam barzakh- hari pengadilan- syurga/neraka. *Betulkan saya sekiranya saya salah.

2. Bayangkan anda seorang yang cantik, hot( saya tambah yang ini), bijak tapi dikongkong oleh ibu. Yang ini tak boleh, ini tak boleh. Nak dekat dengan lelaki tak boleh. Jadi, apa perasaan Intan Suryani ini? Dengan keadaan kesihatannya yang mempunyai sakit lemah jantung dan memerlukan ubat sepanjang masa, dia sentiasa berada di sisi ibunya. Dah la, Intan Suryani sudah berdepan dengan maut banyak kali. Azizah, ibu yang mengongkong dan terlalu tegas sebab dia takut sangat Intan Suryani akan pergi dahulu daripada dia. (Saya rasa semua orang ada perasaan macam itu kan). Azizah terlalu bersifat melindungi. Jadi, Intan Suryani hanya melampiaskan fantasi cintanya menerusi hobinya yang suka membaca novel cinta. Jadi, macam manalah reaksi dia bila berjumpa dengan Khairil eh? BAGAIMANA DENGAN REAKSI AZIZAH?

3. Nama penulis lagi besar daripada tajuk novel ini. Well, faham- faham sajalah. Orang kejar buku ni sebab penulis ni. Jadi, apa lagi. Mari dapatkan buku ini cepat- cepat. Masih tak kenal siapa penulis ni? Pergi kedai buku, ambil bukunya dan berkhayallah dengan ceritanya.

4. Buku tulisan RAM mesti ada bunuh- bunuh dan mati- mati. Dalam cerita ni, ada tembak- tembak. Dalam novel ni, gangsterisme bukan saja di Singapura sahaja. Siap ada link lagi pembunuhan ini. Dari Singapura ke Kuala Lumpur sehingga Jakarta. Pistol boleh berada di kepala anda atau di dada anda bila- bila masa saja. Tekan picu, dan... selamat tinggal dunia.

5. Khairil: "Abang akan jaga Intan sampai mati" Tak rasa musykil ke baca ayat ni? Siapa yang mati? Intan atau Khairil?

6. Lupa pula, ada watak utama lain lagi. Nama dia Hakim, si buta tapi boleh dengar suara roh- roh yang berada antara sempadan kehidupan dan mati. Kerja pulak di hospital. Tapi apa kaitan Hakim dengan Intan Suryani?

7. Musykil juga dengan Mat Siam ni. Siapa dia ni sebenarnya? Jeng jeng jeng! Tiba- tiba pula boleh berangan nak kongsi syer pernigaan emas Azizah ni.

8. Paling suka dengan Shauqi. Cute saja.

Just my two cents. Saya tulis ikut sedap hati saya saja. Tapi buku ni boleh buat anda terkejut dengan watak- watak dia. Ada yang boleh anda ramalkan, dan ada yang akan anda terkejut terus. Tapi kan, saya lagi suka novel Mikhail. Yang itu, boleh sakit jantung kot baca. hahaha. Tapi, itu tak bermakna yang anda tidak patut meminggirkan 9 nyawa. Zaaazz

Sabtu, 16 Januari 2010

Yasmin Ahmad's Film

Baca buku ini dengan jiwa. Pasti kamu akan jumpa kepuasan. Best lah Amir Muhammad ni, dia pandai baca hati filem. Dia pandai mengaitkan satu babak antara filem filem, latar tempat, warna baju, dan lagu- lagu. Dia buat saya nak tengok balik filem- filem ni. Dia juga menceritakan 'di sebalik filem' sebab penulis ni berkawan baik dengan Yasmin Ahmad. Dan kamu akan lebih mengetahui tentang hidup, plan dan keinginan Yasmin Ahmad sebelum YA pergi meninggalkan kita semua.

Dia buat saya rasa, best lah Yasmin Ahmad ni. Keep it up!

Jumaat, 15 Januari 2010

malam tahun baru

Jam 1.05 pagi, pada 1 Januari 2010, di wad 8B, ayah aku pergi buat selamanya.

Malam itu, aku duduk di dalam wad. Menemani mak yang menjaga ayah aku. Aku sendiri tak ingin pulang ke rumah pada malam itu sebab aku lihat ayah terlalu lemah. Tubuh ayah terlalu lemah pada hari itu. Dalam seharian dia tak makan. Ada la jugak jamah pisang goreng (yang tak habis sekeping). Yang lain, ayah cuma minum air dan jus ubatnya. Minum susu, ayah muntahkan balik.

Pada minggu itu, pagi-pagi aku datang menjaga ayah. kadang-kadang aku memarahi diri aku sendiri. Badan ayah lemah. Tapi aku tak berdaya menjaga ayah dengan sebaik-baiknya. Minggu sebelum itu, ayah sudah tenat. Tapi alhamdulillah, ayah bangkit kembali.

Minggu itu, ayah lemah. Pada Khamis itu, badan ayah makin lemah. Pagi itu, ayah demam sehingga badannya menggeletar. Ayah tak ingin makan bubur pada tengah hari itu. Aku selalu memarahi diri aku sebab tak pandai jaga ayah dengan baik-baik. Tapi pada hari itu, aku lihat ayah ketawa. Jiwa aku yang gundah senyum melihat ketawa ayah.

Malam itu, ayah pergi. Mak kata, ayah ingin tidur. Mak dengar ayah berdengkur. Dengkurnya bunyi lain. Rupa-rupanya, dengkur ayah dah bercampur dengan nazak. Mak kejut ayah, tapi ayah tak sedar- sedar.

Dan kami menangis pemergian ayah di saat keadaan riuh rendah orang menyambut tahun baru di sekitar luar hospital.

Apa yang aku tidak tahu:
1. Doktor memberitahu bahawa ayah mempunyai masa tiga bulan setelah diketahui sakitnya.
2. Doktor sering memberitahu emak dan abang aku supaya bersedia, meminta sekiranya ayah tenat, jangan diberi CPR atau ubat ke dalam tubuhnya.

Ayah aku adalah pesakit leukimia dan ayah pergi tak sampai dua bulan setelah ayah dimasukkan ke hospital. Ayah dimasukkan ke hospital selama sebulan++, balik ke rumah seminggu++, dan masuk ke hospital balik seminggu++ .

Saya nak jumpa ayah kat syurga nanti :)

al-fatihah