Selasa, 1 Januari 2013

Tahun baru dan ayah!

31 Disember 2009
Pada malam itu, untuk pertama kalinya, aku baca surah Yaasin kuat- kuat untuk ayah yang terlantar di atas katil. Di wad. Selepas ayah jatuh  nazak seminggu sebelum itu,  aku mula baca Yaasin untuk ayah. Tapi selalunya dengan mulut terkumat- kamit. Tidak kuat untuk didengar ayah. Malam itu, aku baca kuat- kuat. Terima kasih dekat emak yang suruh juga aku baca kuat- kuat.

Dan selepas itu, aku rasa ketenangan yang amat.

Dan malam itu, untuk kali pertama aku tidur di wad. Selalunya shift aku jaga ayah adalah antara pagi sehinggalah tengah hari. Oh ya, pertama kali untuk waktu ayah yang sedang- sedang saja situasinya. Masa ayah nazak 24 Disember 2009, semua ahli keluarga berkampung di hospital. Dan tidur di koridor hospital. 

1 Januari 2010, 1.05 pagi
Mak kejutkan aku. Aku lihat ayah. Dan seumpama ayah berdengkur. Emak panggil jururawat. Panggil doktor. Dan ayah hembus nafas terakhir. 

Dan aku teresak dalam hiruk- pikuk orang meraikan tahun baru.

Ayah nazak 24 Disember. Ayah kembali stabil. Ayah pergi 1 Januari. Alhamdulillah. Kau masih beri kami seminggu lagi untuk bersama dengan ayah. Alhamdulillah.

Kini, kalau kau lihat aku bergembira pada tahun baru, ini tidak bermakna aku lupakan ayah. Hish, aku ini, hari- hari ingat ayah dalam hati. Insyaallah, untuk hari- hari akan mendatang juga. Aku sayang ayah. Moga kita bertemu di akhirat. Moga kita sama- sama menetap di istana di syurga nanti. Insyaallah.

“Tiada seorang muslim pun yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat, kecuali dia akan diselamatkan oleh Allah daripada fitnah/azab kubur.”

Hadis ini diriwayat oleh al-Imam at-Tirmizi dalam al-Sunah, Kitab al-Jana’iz, Bab Ma Ja’a fi Man Mata Yaum al-Jumu’ah, No. 1074. Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal dalam al-Musnad, di dalam Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 6546.

Status hadis ini dipertikaikan oleh para ulama. Ada yang menghukumnya daif (lemah) dan ada yang menghukumnya hasan. Saya lebih cenderung kepada pandangan bahawa hadis ini adalah berstatus hasan. Justeru hadis ini dapat dijadikan sandaran dalam memberi berita gembira bagi orang Islam yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat. (pautan) 
Moga tiada yang menggusarkan aku bila kita terpisah dunia, ayah :') 


Kisah lain tentang ayah:


Tiada ulasan: