Jumaat, 30 November 2012

Hari terakhir November dan juga hari terakhir beliau

Hampir setiap kelas, aku rasa sama saja nasihatnya. Kerja keras! Kerja keras! Pensyarah itu bukan Melayu dan aku rasa, memang kita nampak dalam hidup kita sehari- harian, kita lihat bangsa Cina memang jenis bekerja keras.

Aku suka benar dengar cara dia menyebut nama- nama kami, nama orang Melayu. Tiada kekok. Caranya, aku lihat masih tipikal Cina. Entahlah kenapa ada tipikal itu tapi dia, mengingatkan aku kepada seorang kawan rapat ketika di matrikulasi. Hampir sama! Dan rasa nak gelak pun ada juga bila melihat karenahnya (dan mengingatkan tingkah laku kawan lama aku itu). 

Hari ini merupakan hari terakhirnya. Sudah mahu pencen. Tapi, kelas pada hari ini berjalan seperti biasa. Malah, dia mahu menghabiskan bab terakhir sebelum tugasnya dserahkan kepada pensyarah lain. Biar lepas ini, kerja kami buat tutorial sahaja. Tak mahu dibebankan tugas kepada pensyarah ganti.

Dan pada akhir kelas, dia banyak bagi nasihat. Dan sudah pastilah nasihat untuk kerja keras itu ada. "I believe in hard work. You want to do well, you have to work hard." Sekalipun aku kurang bersetuju dengan kerja keras, tapi aku tetap akui yang untuk berjaya melakukan apa- apa, kau perlu buat sungguh- sungguh. Dan berilmu. Sungguh- sungguh: kerja kuat lah kan?

Pada dirinya, aku nampak Islam tanpa perlu menjadi Muslim. Tadi dia sebut tentang integriti. Katanya, integriti itu adalah melakukan sesuatu perkara yang betul walaupun tiada orang melihat kita. Katanya lagi, ini bukan sesuatu perkara yang kita buat di hadapan semua orang, tapi apa yang kita buat bila tiada orang lain di sekeliling kita. Integriti. Seperti kau yang memandu jam tiga pagi, dan langgar lampu isyarat merah kerana tiada kereta lain. 

Dan kata- katanya itu buat aku terfikir akan satu perkara dalam Islam. Ihsan. Ihsan itu ialah melakukan sesuatu perkara seolah- olah Allah melihat kamu. 

Suatu ketika Jibril mendatangi Rasulullah SAW ketika baginda bersama-sama para sahabatnya, bertanyakan tentang Ihsan. Jawab Rasulullah:

“Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, dan sekiranya kamu tidak melihat-Nya, maka Dia melihat kamu.”
Dan sungguh, aku nampak Islam dalam dirinya tanpa perlu menjadi Muslim. Dan di akhir kelas, kami bersalaman dengannya sebagai penghormatan sebelum perpisahan. Pada giliran aku, dia katakan, "I know you can do well". Terima kasih kerana mempercayai aku. Terima kasih!

Dan ketika rakanku sedang berurusan dengannya di pejabat, aku berdiri di luar pejabat. Rakan seorang lagi tiba- tiba menujukkan aku pada tanda nama di sebelah pintu. Dan seolah- olah ia membuka suatu perkara lagi setelah membincangkan hukum bersentuhan dengan perempuan non-Muslim. (Sungguh aku tak tahu tentang dalil ini dan tak tahu apa- apa. Mohon untuk siapa yang ada ilmu, mari kongsi sama-sama)


Rujukan: ihsan


Sabtu, 24 November 2012

Motor vs bas

"Untunglah dah ada motor!"

Tak perlu nak 'untunglah' apalah. Percayalah, kalau aku masih menetap di kolej dan tiada koko pada waktu malam, aku mungkin sama sekali tidak terfikir pun untuk menunggang motor apatah lagi meminta- minta daripada ibuku. 

Cukup- cukuplah semester dua aku lelah kerana bas pada waktu malam. Sampai aku bertekak dengan pemandu bas sebab dia tak nak mulakan perjalanan. Sampai aku terlewat ke kelas. Dan tak pernah lagi aku jumpa kelas yang sangat mementingkan masa dan kehadiran sepertimana kelas akademik pada siang hari.

Dan tak sanggup dah kot untuk menunggu berlama-lama di perhentian bas malam- malam pada semester ini sebab ... sebab... lampu kat perhentian bas padam! Aku tak tahulah samada pihak berkuasa tahu ke tak, tapi bergelapan di sana keseorangan dengan ditemani cahaya lampu kereta sahaja sangatlah tidak syok. Seriously.

Dan, jangan risau. Aku masih tahu lelah naik bas awam. Ada satu ketika itu, aku mahu pulang ke kampung halaman. Tiket bas pada jam 8 malam. Ku kira, sempatlah aku cabut dari rumah sewa sejurus solat Maghrib.  Malangnya, budak ini berlengah- lengah. Maka, aku terlepas bas Seranas yang menghubungkan dari rumah sewaku ke Seksyen 2. Maka bergelaplah aku di perhentian bas. Mesti korang suruh aku tahan teksi je kan? Percayalah, dalam malap begitu dan silau dari lampu kereta, kau tak dapat bezakan mana satu kereta biasa dan mana satu teksi.

Alhamdulillah, mujur ada lagi bas Seranas. Dan bestnya, masa di Seksyen 2, teksi semua habis. Yeehaa! Dan tika itu, aku ambil peluang untuk naik bas awam lagi. Dan barulah sampai ke Terminal Bas. phew. Apalah punya journey pada malam itu. Tapi aku suka! Masa kecil- kecil dulu, aku tulis 'Pengembara' dalam ruangan cita- cita. Jadi, adalah tu rasa macam dalam pengembaraan kejap. Pengembaraan ke Kuantan. Mujur je tak naik bas lompat- lompat pulang ke Kuantan!

Jadi, tak payahlah nak untung- untung sangat. Kita masing- masing beruntung dalam bahagian masing- masing. Aku sendiri pulang tak berjemput dah. Dah habis zaman senang-lenang aku di matrikulasi. Dulu, mak aku pergi ambil di blok masa budak laki tengah berjalan nak pergi solat Jumaat di masjid. Hah, cuba bayangkan. Habis kelas, terus balik berjemput. Sekarang ni, aku pun tengah berkira nak balik kampung halaman ke tak bila dah rindu sangat. Tiket pun dah lebih RM25. Baru satu hala.

Dan andailah korang masih fikir 'untunglah aku ada motor', aku pohon doa agar aku guna motor ini untuk berbuat baik. Bawa pergi masjid ke pergi majlis ilmu ke. Dapat tolong orang ke.Sedaplah juga hatiku ini mengetahui. Dan ketahuilah juga, bukannya aku dapat motor ni percuma- percuma saja. Ada lah juga duit yang dihulur. Duit buat lesen? Bukan tajaan ibu. 

Dan bukan seorang dua yang berkata sedemikian. Tapi ketahuilah juga, aku cemburu dengan kawan- kawan yang masih menetap di kolej. Tapi kalau tidak kerana kesusahan, kita semuanya tidak akan berdiri sebagaimana kita hari ini :)

p/s: Dan aku masih pengguna pengangkutan awam hampir setiap kali naik ke KL. Bas Rapid, KTM, LRT, Monorail semua aku terjah.

Rabu, 21 November 2012

Sepuluh perkara

1. Aku sedang disuntik tenaga gila yang membuatkan aku ingin ke sana ke mari tanpa henti. Untuk kejar macam- macam. Walaupun aku tahu, tak semua dapat dikejar. Tapi aku cuma harap, tenaga ini tidak luluh dalam jangka masa pendek.

2. Aku cuba untuk menjadi orang yang sibuk. Biar sibuk dengan perkara mahmudah. Walhal kini, aku sedang bersandar di dinding, dengan laptop di atas riba berlapikkan buku dan bersilangkan kaki. Ironi.

3. Kadang- kadang aku tuit cuma untuk mendapatkan perhatian seseorang. Apaentah aku ini. Aku dapat merasakan yang aku bakal patah hati lagi. Jadi, aku mohon agar perasaan ini boleh dipadamkan sebelum hati ini yang patah. Memanglah patah sebab aku pendam sorang- sorang. Zaman tiga tahun ini memang macam ini hati aku. Kenapa tiada yang terus- terang? Mungkin Tuhan saja yang tahu.

4. Oh kenapa tiga tahun? Sebab nak dekat tiga tahun dah aku tak berpacaran atau mempuyai hubungan istimewa dengan sesiapa. Horey! 

5. Dan apa entah lagi. Banyak lagi bahan bacaan yang tak dihabis baca. Baik kau baca semua benda yang kau dah beli tu! Dulu semangat je beli. Ingat duit turun dari langit?

6. Moga dirapatkan ukhuwwah antara kami. Moga setiap perkara yang kami lakukan untuk satu sama lain diiringi dengan keikhlasan. habluminallah habluminannas. Andai ada sesuatu yang tidak menyenangkan timbul di hati aku, ku harap agar ketidaksenangan ini dijawab dengan syukur. Mana tak syukur dapat kawan sebaik ini hoi??

7. Oh ya, permainan apa yang kita mainkan sekarang ini? Cuma benar- benar perbualan sahabat atau tett... Aku tidak faham benar akan apa yang kita lakukan sekarang ini. Dan ini juga berkaitan dengan perkara nombor 3 tadi. Kalau boleh aku nak luah semua sampai tiada satu dah yang terlekat di hati aku. Tapi aku tak berdaya nak halau terus. Kan best kalau (hampir) semuanya dalam keadaan sedia kala seperti pada awal 2011? Sekarang sudah hampir menuju akhir 2012. Aku masih tak bertemu jawapan.

8. Aku seorang yang penakut. Dan ada bukti sehelai kertas yang jelas, terang- terang menunjukkan aku seorang penakut. Kerana kalau tiada kawan yang menyokong, kau tak perlu takut bersendirian. Macam kau yang kadang- kadang suka merayau sorang- sorang, kau patut apply semua ini dalam hidup kau. Tuhan pun ada kan? Di lagi faham kau. Sama ada kau nak je tak, kau nak terma cabaran ke tak. Itu semua bergantung kepada kau.

9. Aku juga takut untuk tegur orang andai salah. Oh Tuhan, bukankah manusia ini dicipta untuk saling melengkapi. Maka  aku tidak apply hikmah saling menasihati dalam melengkapi antara satu sama lain?

10. Hampir jam dua pagi. Dan aku rasanya, sudah melanggar sunnatullah hikmah siang dan malam diciptakan. Tapi bersyukurlah juga kerana aku ini orangnya jenis senang lena. Ada juga rakan- rakan kita di luar tertekan sebab tak boleh tidur malam. ALHAMDULILLAH.

Khamis, 15 November 2012

Putrajaya, 2012

Tiba- tiba rasa kagum dengan bandar Putrajaya. Nampak sangat dah bertahun tak pergi sini. Tak pusing sanngat pun bandar ni, tapi macam tiba- tiba adalah (sikit) harapan bila tengok bangunan Jabatan Audit, Perbendaharaan Negara dan Kementerian Kewangan. 

Normal juga aku ni dalam bercita- cita sebagai seorang pelajar akaun. Wow.

Rabu, 14 November 2012

"Orang yang busy sahaja yang ada masa"

[Sedikit petikan dari Facebook Aiman Azlan]


"Selepas selesai solat Isyak berjemaah dengan kawan-kawan serumah, aku dengan selambanya meminta salah seorang daripadanya untuk bagi tazkirah spontan. 

Tak pasal-pasal kawan aku, Fiqri, kena bagi tazkirah. Dia bercakap soal masa. Dia kata, "Kita ni terlalu risau pasal masa depan sampaikan kita bazirkan masa sekarang kita." Betul. Kita plan sebaiknya untuk masa depan, tapi kita tak risau sampaikan
masa sekarang kita tergadai. 

Lepas tu Zulfaqar, sorang lagi kawan serumah, menambah dengan satu poin bernas, "Apa pendapat ko kalau aku cakap free time itu ialah musuh kita?"

Hmm...awesome. Bila kita busy, kita nakkan masa. Tapi bila dapat masa, kita tak tau nak buat apa. Isunya bukan takda masa, tapi tak reti nak guna masa. In a way, free time tu memang macam musuh kita. 

Zulfaqar tambah lagi, "Orang yang busy sahaja yang ada masa."

Fuh! Falsafah apa ni? Tapi bila difikirkan, ada betulnya. Mereka yang busy bukan busy sembarangan, tapi busy dengan benda-benda berfaedah. Mereka inilah yang mempunyai masa yang paling banyak kerana Allah kurniakan keberkatan atas masa mereka. 

Sebab tu lah orang-orang hebat seperti Umar Abdul Aziz, yang hanya memerintah selama 2 tahun sahaja, dapat membawa perubahan besar kepada rakyatnya. Bayangkan, di bawah pemerintahan beliau, rakyat-rakyat menjadi begitu kaya sehinggakan nak mencari seorang rakyat yang layak mendapat zakat pun susah. Kaya sampaikan semua baitulmal penuh!

Itu berkat 2 tahun yang Allah berikan. 

Last-last, aku pun menyampuk dengan tak malunya, "Untuk hargai masa, kita sempitkan masa."

Sempitkan dengan perkara-perkara maaruf. 

Alhamdulillah, tazkirah spontan pun boleh deep macam ni. Memang stylo lah!"

Sabtu, 3 November 2012

rawak #7

Bila kau sukakan seseorang, kalau boleh semua ciri lelaki idaman akan menghala kepada si dia. Sehinggakan apa- apa ciri yang tidak kau senangi pada lelaki, kau "tak apalah" kepada si dia.

Sampai pada satu tahap, dalam kau merancang semua itu, sebenarnya dia tak tahu pun yang kau sukakan dia.

Nametag sekolah kau macam ni juga ke?

Rupa- rupanya dah macam ni nametag sekolah sekarang ya. Besar pula tu aku nampak budak pakai haritu.


Mujur sungguh aku tinggalkan sekolah tiga tahun lepas. Mujur sungguh lagi kerana nametag sekolah aku tidak pelik- pelik macam tu. Dan juga warna nametag serupa je dari tingkatan satu sampailah lima. Tahu tak kenapa aku lega?

Makin besar nametag anda, makin tinggi harga yang perlu anda bayar. Kan? Aku tak faham apasal perlu ada nama sekolah pada nametag sedangkan lencana sekolah pun besar- besar dijahit atas tudung. Orang nak tahu kau sekolah mana, tengok jelah lencana. Nametag yang ada nama sekolah ni buat macam kita senang nak cam budak tu dari sekolah mana kalau tiba- tiba kita tangkap dia ponteng sekolah. Eh macam lah kerja budak sekarang ni ponteng sekolah?

Atau ini alasan tauke kapitalis nak untung lebih besar?

Hah satu lagi. Nametag yang warnanya lain- lain setiap kali kau naik tingkatan. Tingkatan satu warna hijau. Tingkatan dua warna oren dan seterusnya warna biru lah ungu lah. Macam- macam. Mungkin alasannya supaya guru- guru senang nak cam pelajar mereka dalam tingkatan berapa. Aduyai, bestlah tauke kalau macam ni. Tebal je poket tiap- tiap tahun. Cuba kalau pelajar dari keluarga miskin. Entah- entah tudung putih tak bertukar dari tingkatan satu tapi nametag bertukar- tukar setiap tahun.

Aduyai, mohon ampun kalau aku bersifat menuduh. Tapi banyak lagi benda yang boleh dibuat duit kan kalau bukan nak menghabiskan duit orang nak tuntut ilmu ni? Mudahkan jangan bebankan. Tolong. 

Jumaat, 2 November 2012

Simpan untuk yang Halal- Rinzuas



Aku Hani. Hani Zulaikha. Zaman persekolahan memang tak lepas- lepas dari kenangan aku. Aku amat seronok di sekolah terutama kisah aku ketika di Tingkatan Dua. Salah satunya disebabkan oleh si kecik, Faris. Faris nampaknya begitu mengambil berat, banyak menolong aku dalam Matematik (dan apasal dia begitu terror dalam ujian walaupun dia kurang mengulangkaji? I iz jeles!) dan kami juga sahabat baik selamanya: Best friend forever, katanyalah! Tapi selepas meninggalkan sekolah, aku lebih selesa mendiamkan diri daripada rakan- rakan lama di sekolah. Aku cuma berhubung dengan Nurain saja (ini baru betul KAWAN BAIK aku masa di sekolah dulu). Dengan yang lain- lain, aku Cuma diam. Kenapa ya? Salah satunya, disebabkan Faris juga. Adeh, terpaksalah juga aku mengaku yang aku sebenarnya sudah lama sukakan Faris. Dan aku juga terasa bila surat- suratku tidak dibalasnya selepas dia berpindah sekolah dahulu.

Tapi aku lupa, zaman persekolahan aku dulu juga diwarnai dengan seorang lelaki bernama Zikri. Ahmad Zikri. Ahmad Zikri bin Ahmad Kamal.
---------------------------------------------------------------------------

Kau tahu apa? Aku kalau boleh, nak cepat- cepat habiskan kisah Hani ni di zaman persekolahan. Cepatlah habis. Tolong tekan mode *fast forward* please! Oh ya, novel ini terbahagi kepada dua bahagian. Zaman sekolah dan waktu sekarang: ketika university. Aku juga tidak faham kenapa aku seakan menafikan kisah- kisah di zaman persekolahan ini. Tahulah dah besar *ehem* tapi kita semua pernah rasa zaman sekolah dulu kan?

Dan aku juga tidak tahu sama ada pemilihan latar masa ketika di Tingkatan Dua ini ada signifikan dia ataupun tidak. Bak kata kawan aku lah masa sekolah dulu, *ayat telah diubahsuai sedikit*, “Waktu Tingkatan Dua-lah yang kritikal sekali”

Mungkin masa Tingkatan Dua ini, kau mula pandai meneroka hidup kau. Nampak keanak- anakan, tapi kau cuba jadi matang. Tak dapat dinafikan, fasa hidup aku paling mengarut adalah ketika di Tingkatan Dua. Begitu juga dengan sebahagian kecil kenalan aku. Dan yang aku dengar budak lari dari rumah pun, masa dia di Tingkatan Dua. Haha, macam- macamlah kitorang ni!

Aku okay- okay saja dengan kisah zaman persekolahan Hani ini. Oh ya, aku pun tak pandai Matematik masa Tingkatan Dua dulu. Masuk je bab algebra, habis! Lingkup aku!

Oh ya, disebabkan pihak JS adiwarna kuat sungguh mempromosi buku ini di Facebook, maka aku pun belilah buku ini. Dan ternyata tak sia- sia, sebab buku ini memang berbaloi untuk dibeli. Serius! Ayat dia santai, ada humor walaupun ayat dia nampak canggung sedikit bila guna sepenuhnya bahasa Melayu. Tapi, tak apalah, aku sendiri faham dengan misi JS ini. Dan yang paling tak tahan, dia guna perkataan sailang kat sini! Hahahahahaha. Like seriously? Kau guna perkataan sailang dalam buku ni? Hahahaha. Aku ingat aku jumpa perkataan tu dalam Terfaktab je!

Cuma sedikitlah pemerhatian aku di sini. Cuma perlu diingatkan, aku masih belum men-google tentang si penulis ini ya! Aku fikir dia ini masih lagi di zaman persekolahan atau sekurang- kurangnya, dia lagi muda daripada aku. Sebabnya, kisah dia pada zaman persekolahan sangat terperinci. Sangat- sangat! Sehinggakan aku pun baru teringat zaman Tingkatan Dua aku bila baca buku ni. Aku pun baru teringat balik yang aku pernah dapat C dalam ujian Matematik dulu.

 Bukanlah, aku mahu katakan yang zaman university dia tidak jelas. Jelas sebenarnya kalau diikutkan dia siap meletakkan subjek yang dipelajari dan buku yang digunakan. Buku Financial Management (eh ini buku aku untuk semester ini, woots), Foundation Islamic Economic, dan subjek ECON 3445. Tapi bila si suami menegur grammar Hani ini (di penghujung cerita), aku rasa ragu- ragu kejap. Alasannya, kursus yang diambilnya ketika di UIA dulu (Economic and Management Sciences) lebih kepada pengiraan dan bahasa tidak penting.

Ini kerana, aku pun ambil ijazah yang lebih kurang serupa. Tapi aku lebih kepada Perakaunan lah kan. Tapi, aku fikir bahasa Inggeris di kampus aku sangat dititikberatkan. Semester lepas, ada saja budak ditegur ketika membuat pembentangan keranan grammar tidak betul. Jawapan tidak salah tapi grammar tidak betul. Adeh, sedap betul kena sedas depan ramai- ramai. Semester ini pula, pensyarah sudah katakana yang dia bukan bertugas untuk membetulkan grammar kitorang dalam tugasan kami. Ini bukan subjek bahasa. Dan kami sedap jugalah kena tegur kan.

Jadi, aku tak fikir kalau UIA kurang daripada kami. Dengan pelajarnya yang bercampur dengan pelajar antarabangsa, aku fikir mereka pasti lebih fasih dalam bahasa Inggeris berbanding kami. Maafkan aku kalau tersilap mahupun menjadi klise dengan UIA.

Tapi, aku kat sini ingin jugalah beritahu, di sebalik ketegasan pensyarah (eh?), aku masih tidak fasih dalam berbahasa Inggeris. Mahu bertutur pun, masih berkira- kira untuk translate dalam otak. Whatthefish. Teruk kan? Kuikui. Mungkin juga watak Hani itu serupa dengan aku. Mungkin juga, ada kawan- kawanku yang masih belum biasa untuk menggunakan bahasa ini dalam seharian. Sila dush dush dekat kepala Amilah ni.

Tapi aku suka dengan buku ini. Dekat ayat- ayat al-Quran dan hadis yang kena dengan situasi dalam buku. Dan aku paling suka dengan watak Zikri! Rasa macam tersengih lebih je bila baca pasal Zikri bila mereka dah besar tu. Hihihi. Tiba- tiba pula boleh motivasi aku untuk jadi seperti Zikri.

Ini baru novel pertama kau, dan aku rasa kau boleh pergi jauh lagi. Teruskan RINZUAS! :) 
nota kaki: eh, penulis ni memang dah bukan budak sekolah. my bad! :')



Wanginya, bunga rampai...


Wanginya, bunga rampai...
Haswida Abu Bakar
Cukupkah dua minggu untuk aku beralih pada yang lain?


Arif.
Seri.

Keduanya bertemu di Kampung Molek. Menolong untuk menjayakan kenduri perkahwinan Helmi, kawan baik Arif sewaktu dia kecil dahulu dan Seri yang dating menolong, berpegang watak sebagai kawan serumah Che Sue, adik Helmi. Masing- masing sudah bertunang, tapi rasa cinta itu hadir antara Arif dan Seri.

Bagaimana keduanya boleh mudah saja tersentuh hati kalau jari masing- masing sudah diikat dengan janji pertunangan? Arif sepatutnya mengotai janji kepada Nurul. Seri patut ikat kemas- kemas hati pada Haikal.
Arif kira dua minggu ini molek benar kalau dia dapat menguji perasaannya sendiri kepada Nurul. Tapi niat itu sendiri tergugat pada hari pertama dia menjejakkan kaki ke Kampung Molek!

Rupa- rupanya hati mereka kosong. Arif perlu mengotakan janji moyangnya dengan berkahwin dengan Nurul. Seri pula terikat dengan pangkal namanya. Si Syarifah biasanya dimeterai perkahwinannya dengan seorang Syed juga kan? Seri pun begitu.

Dan dua minggu berkampung di sana. Mungkinkah Arif dan Seri akan memberontak secara diam- diam dan mengingkari permintaan ibu bapa mereka?
----------------------------------------
Sebenarnya jawapan sudah ada bila kita menyoroti hadis yang ditampilkan di muka hadapan novel ini.

Aku suka benar novel ini. Semuanya diadun dengan cermat. Bukan cinta semata- mata. Ada sindiran politik dan di masukkan sekali dengan isu social. Dan semua ini diadun dalam budaya ‘kampung’ Melayu yang indah! Kebanyakan plot berlatarbelakangkan suasana kampong. (Dan aku juga hairan, JS memang suka eh dengan latar belakang Kedah?) Indah. Permai. Masakan kampong. Rumah kayu. Ada halaman luas.

Psst. Pensyarah aku kata, dia merasa Melayu benar bila Hari Raya tiba. Iyalah, segala makanan Melayu muncul pada hari kebesaran Islam itu. Ada rending ada ketupat ada macam- macam lagilah. Kau tahu bila tiba- tiba aku rasa Melayu? Bila aku pulang dari kampus petang- petang dan dapat beli pisang goreng dan kuih lapis (?). Peh, bahagia beb!

Walaupun si penulis cuba kembangkan pemikiran pembaca dengan mengadun segala isu masyarakat tapi aku suka dengan kisah cinta Arif- Seri. Dalam cinta mereka itu sendiri ada teguran kepada anak muda kini yang suka mengikut hati. Dalam malu ada kasih. Dalam halus ada teguh.

Aku suka dengan pengakhiran kisah ini. Cumanya, kenapa aku rasa kisah Che Sue ni seolah- olah tergantung? Iya, aku sudah diberitahu bahawa Che Sue ini sudah ada teman hidup, Zul. Tapi aku rasa hairan dengan perhubungan mereka. Seolah- olah ada persoalan yang masih tak terjawab di situ. Mohon agar dipanjangkan kisah ini dalam novel berikutnya, cik Haswida! (Eh suka- suka hati je kan panggil Cik. Kehkeh :P )

Nak tau apa yang aku rasa best dalam ni? Arif ni macam jatuh cinta pertama kali dan boleh nampak yang dia sedang mengorat Seri ni sungguh- sungguh. Hikhik. Mampukah Seri dan Arif sama- sama mencari noktah cinta mereka dan bagaimana pula dengan Nurul dan Haikal?

Ps. Syabas Seri! Aku suka benar dengan tindakanmu yang tidak terburu- buru dan mengikut hati. Rasanya aku dah bagi jawapan untuk apa pengakhiran novel ini kot. Eh? :P