Sabtu, 2 Jun 2012

Blues Retro (review)

Oleh: Imaen 2011



Semasa di pesta buku lepas (pada awal Mei), saya berkesempatan untuk berjumpa dengan Imaen. Saya mula jatuh hati dengan tulisannya selepas membaca Vendetta. Saya rasa thrilled bila baca mini novel itu. Pihak Jemari Seni patut lebih kerap terbitkan 3 cerita dalam 1 novel. Umpama Nescafe 3-in-1. Sedap. Novel format sebegini lebih senang memperkenalkan penulis- penulis (terutama baru) kepada pembaca. Saya juga dahulunya jatuh hati dengan Noor Suraya dalam 'Rumah Kecil di Ujung Padang'. Dan juga Saidatul Saffaa dengan kisah Damai.

Selepas jatuh hati dengan Vendetta, saya cari (hampir) semua buku Imaen. Dari buku 'Seikat Kembang Merah', 'Sigaraning', 'Bohemian', 'Blues Retro' sehinggalah buku genre kanak- kanak iaitu 'Hotel Meow- Meow'. Saya senang berborak dengannya. Saya katakan saya suka dengan novel pasal kedai runcit (sebenarnya pasar raya mini kan) itu. Saya tak ingat nama tajuk. Lalu dia katakan, novel 'Sigaraning'. Dia kata pemikiran saya tinggi, sebab ramai tak suka dengan buku itu. Saya cuma tersengih- sengih. Banggalah konon! Kemudian, dia tanya, "Blues Retro baca tak?" Saya anggukkan. Lalu katalah saya tentang realiti yang patut dihadapi oleh Ghazi dan Nik Farhana. Mereka mahu kahwin lari. Tapi dalam konteks percintaan mereka, kahwin lari tu bagaikan menyesakkan lagi masalah. Bolehkah Nik Farhana hidup senang hati dengan Ghazi sehingga akhir hayat sedangkan perjalanan ke utara pun, membuatkan dia rasa kurang selesa. Naik van buruk. Naik bas lompat- lompat. Nik Farhana tak pernah rasa susah. Tapi saya lihat Imaen semacam ada sesuatu kurang beres dalam raut wajahnya. Apakah ada salah dalam ulasan saya tentang 'Blues Retro' itu?

Maka, pada cuti ini, saya pulang ke rumah dan berkesempatan untuk baca sekali lagi buku ini.

Ehem, sebenarnya buku ini lebih daripada kisah percintaan dua darjat antara Ghazi dengan Nik Farhana. Ini kisah anak muda memberontak! Kisah anak muda daripada golongan bawahan, golongan yang diejek etlit, memandang kehidupannya. Alkisahnya, dia cuma mempertahankan maruah. Dia tiada harta. Dia cuma ada maruah. Dan kamu tahu, minggu orientasi merupakan minggu di mana fasilitator ini bagaikan berkuasa terhadap pelajar- pelajar baru. Dan bila dia disuruh melakukan sesuatu yang padanya, tidak manis, dia mula tunjuk 'rebel'. Kalau orang lain, pasti anggukkan saja dengan apa yang fasilitator katakan. Ah, minggu- minggu lain, aku tak jumpa mereka dah! Tapi Ghazi katakan tidak mahu. Dan akhirnya, dia dibuang kolej. Tapi kisahnya tak berakhir di sini. 

Dia pelajar yang bukan setakat belajar sahaja. Malam berniaga burger untuk mencari rezeki. Pandangannya melebihi apa yang orang lain fikir. Ya lah, dia boleh ulas tentang kata- kata Frank Swetenham tentang orang Melayu yang pemalu, dia hargai seni lukisan, dan dia juga sertai demonstrasi. Saya tak tahulah boleh samakan atau tidak situasi Ghazi ini (yang berlatarbelakangkan tahun 1987- 1990) dengan tahun 2012 ini. Tapi Ghazi ini asalnya daripada keluarga miskin. Bila dia lihat ada keluarga miskin ditindas, dia juga rasa pilu.  Dia mahu tolong untuk tegakkan keadilan bagi keluarga- keluarga ini. Dan, mungkin nasibnya sudah tertulis kerana dia ditangkap dalam demonstrasi itu sungguhpun tidak berbuat apa- apa yang salah.

Bagi saya, Imaen merupakan penulis yang kalau boleh, nak sumbat bermacam- macam ilmu dalam satu buku. Tapi dia sumbat dengan moleknya. Tak rasa berat pun buku ini. Ini cuma kisah anak muda yang memberontak. 

"... masa mudalah kalau nak ikut apa- apa aktiviti perjuangan. Tumpang darah muda yang mudah mendidih tu. Dah makin tua nanti, makin redalah semangat yang bergelora itu. Kan Islam tu juga dimenangkan oleh golongan muda"- Ghazi

Alahai, Bahasa Melayu ini lebih indah bila anda menjadi penulisnya. Ringkas. Tapi menawan!

"Ya, aku manusia bebas lagi merdeka!"

Tiada ulasan: