Sabtu, 10 Disember 2011

Teater Asrar 2


Arakiannya, muncullah pada suatu tempat, seorang lelaki bernama Sulaiman. Memakai songkok, berkemeja. Kemeja nampak lusuh. Begitu juga seliparnya. Nampak zuhud. Dalam kelas, lisannya lantang berbicara tentang agama. Hadis demi hadis dikemukakan untuk menegakkan agama. Mulutnya petah berbicara tentang pemimpin yang tak patut dipatuhi arahannya jika itu bertentangan dengan arahan Tuhan sekalian alam. Namun, dia harus mengangguk saja bila ditegur pensyarahnya supaya ambil saja iktibar buku teks. Silibus saja yang akan keluar dalam peperiksaan nanti.

Kerana kelantangannya, maka datanglah seorang teman meminta pertolongan. Bagaimana caranya untuk teman ini mahu berubah menjadi lebih baik. Dia pun memberi pandangan. Memberi pinjam buku agama agar masalah dapat diselesaikan. Menjadi orang tengah dalam perbalahan temannya tadi. Semuanya dia. Dialah yang paling protagonis.

Namun begitu, Sulaiman tak banyak pengalaman. Sulaiman tak banyak belajar daripada pelbagai karenah manusia di muka bumi. Dia kurang kawan. Dan mungkin dia kantoi bila berdepan dengan munafik yang bertopengkan kawan. Maka jatuhlah Sulaiman. Hatinya mati bila terdengar fitnah. Maka dipukulnya teman yang sesal di awal cerita tadi (sehingga mati).

Sulaiman arif tentang hadis. Aku tidak. Tapi Sulaiman jatuh di pertengahan jalan. Aku? Masihkah dapat bertahan sehingga ke hujungnya?

"Badan itu barang binasa. Roh itu selama-lamanya. Maka bebaskan roh itu daripada badan binasa"- Pementasan Teater Asrar 2

p/s: Sulaiman itu watak pembantu cuma. Maka masih banyak yang boleh diceritakan tentang watak utamanya. Eh apa nama dia? Jayed? Daripada nama Zaid eh? Eh Jade! Tiba- tiba teringat Rooftop Rant :)

Tiada ulasan: