Dia gadis sebayaku. Baru menghabiskan dua dekad di bumi ini. Kini berkasih- kasihan dengan seorang lelaki. Yang aku kira, lelaki paling cocok dengannya. Tua lima tahun daripada usianya. Apa lagi yang anda mahukan pabila sang kekasih sudah matang fikirannya, stabil kewangannya dan menawan hati ibu dan ayah selain membina sebuah perkahwinan? Itulah yang dia mahu.
Setiap nasihat yang abang bagi, dia dengar. Setiap impian, mereka kongsi sama- sama. Setiap masalah, mereka cuba berkongsi dan leraikan. Tapi aku tahu, hati dia terdetik juga resah bila keluar bersama. Iyalah, syaitan jadi ketiga. Bisikan datang bila- bila. Hasutan sentiasa menjenguk.
Tapi, kalau rindu. Jumpa juga jadi pelerai.
Sehinggalah pada suatu hari, auntie tegur. Tegur gadis ini kerana Allah. Kerana anggap si gadis bagai menasihati anak dara sendiri. *Kisah auntie, aku ceritakan kemudian, insyaAllah* Auntie tegur dalam nada biasa. Tiada marah tiada sindir. Berkali- kali nasihatnya. Berkali- kali juga diberi dorongan untuk terus membina rumah tangga biar pada usia muda.
Sehinggalah pada suatu hari, auntie mengorek rahsia tentang si abang. Jadi, terbukalah cerita tentang sang abang (yang aku sudah ketahui sebahagian ceritanya). Auntie tebak tentang sang abang, bahawa dia ini diminati orang. Iyalah banyak ilmunya, tinggi karismanya. Dan aku agak indah juga budi bahasanya. Dan gadis itu menjawab, iya. Dahulu, melenting juga gadis ini bila dikisahkan tentang wanita- wanita lain yang meminatinya. Tapi, kini gadis semakin faham. Dibiarkan sahaja si abang bercerita kerana dia tahu, lelaki itu tak ke mana juga.
Tapi, kerana tinggi karismanya itu jugalah, auntie berkata, "Kalaulah pada suatu hari nanti, awak dimadukan. Masa tu, terima je ya. Kerana lelaki bukan milik kita seorang" Dan bermacam- macam lagilah katanya yang aku sudah lupa intinya.
Dan satu ayat yang membuatkan aku sebak bila mendengarnya ialah, "Kita dapat bertemu dengan lelaki itu pun kerana rahmat daripada Allah" Sebak. Masa itu, barulah ngerti bahawa kita perlu bersyukur. Iyalah, kita bertemu, kasih dan sayang pada seseorang itu kerana rahmat daripada Allah. Apa lagi yang kita mahukan selain rahmat Allah kan?
Si gadis itu juga membongkar bahawa ibunya seakan- akan susah mahu leraikan dia. Iyalah, kerana kekangan kerja, si ibu tak puas lagi bermanja dengan anaknya. Mungkin sebab itu, ibunya seakan ingin menangguh setiap kali ditanya tentang urusan bina masjid dengan lelaki jiwanya.
Ibu, anak gadismu tak akan putus darahnya bila bernikah dengan jodohnya. Malah, dia semakin memahamimu bagaimana penatnya dalam menguruskan rumah tangga itu.
Kepada si gadis itu, moga bahagia. Moga dipermudahkan urusanmu. Moga Allah redha. Aku di sini, sentiasa di belakangmu. Moga tangismu menjadi mutiara di kemudian hari.
psst, tahukah kamu bahawa cincin dan baju pernikahan sudah pun berada dalam simpanan mereka? Jangan ingat, mereka cuma berangan- angan dalam mendirikan masjid. Ini angan- angan yang bakal menembusi realiti tau. Semoga berjaya kawan ;)