Sungguh Tuhan itu Maha Adil. Itulah apa yang ustaz aku
selalu tegaskan dalam kelas. Ustaz mana yang katakan itu pun aku sudah lupa.
Ustaz ketika di matrikulasi kah ataupun ustaz ketika aku belajar di semester
satu di Uitm ini. Ceritanya Cuma satu. Tapi bisa jadi iktibar.
Cuba kau lihat orang gila di tepi jalan. Biasa tengok kan?
Berjalan melilau. Rambut kusut masai. Baju rabak. Kencing di khalayak ramai.
Sampah jadi makanan. Tapi, perut mereka tak sakit kan? Kalau dilihat pada kita
pula, makan makanan basi sikit sudah boleh buat kita ke tandas berulang kali.
Betapa adilnya Tuhan itu kerana atas ‘kegilaan’ mereka, mereka dikurniakan
dengan sistem imunisasi yang kukuh dalam menjaga badan mereka.
Makanya pada suatu petang, aku bertemu dengan seorang tua.
Kecil sungguh badannya. Tapi aku tetap tertawan kerana kecomelan wajahnya.
Mungkin umur sudah menjangkau tujuh puluhan. Andainya pada waktu itu aku sudah
tertawan, mungkin kecantikannya lebih terserlah lima puluh tahun sebelum ini.
Kau tahu apa cerita dengan si tua ini?
Nyanyuk.
Sedikit pekak.
Pada waktu itu bulan puasa. Dia bertanya sama ada kami ini;
tetamu, sudah dijamah air ataupun belum pada petang itu.
Dia cuma mampu menilik wajah (dan mungkin tersenyum) kepada perempuan di hadapannya bila ditanyakan siapa
perempuan itu. Perempuan itu adalah anaknya. Oh!
Andai dia tidak mendengar apa yang kita katakan, harus saja
kita jerit di telinganya berulang kali sehinggalah dia dengar dan faham.
Cuma sedikit sebanyak saja yang mampu diingati oleh si tua ini.
Tapi, Allah itu maha Adil bukan? Si tua ini langsung tidak
perlukan ubat. Badannya sihat. Tidak seperti generasi datuk nenek lain yang
perlukan bergelen ubat. Dan kalimat inilah yang aku dengar pada petang itu.
Bahawasanya Allah itu Maha Adil.
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?”
Ar-Rahman; 55:13