Isnin, 22 Februari 2010

Gadoh (2009)

Filem yang paling banyak mesej. Filem yang setiap babaknya tidak membazir. Filem pertama yang saya tahu "kenapa dia jadi macam ni", "oh.. dia nak buat perbandingan la tu", dan macam- macam lagi la. Mungkin saya yang baru belajar bahasa filem, baru pandai nak korek rahsia di sebalik cerita atau filem ini yang terlalu jelas mesejnya.

Filem ini bermula dengan adegan guru- guru bermesyuarat. Iyah, lepas budak- budak Melayu vs Cina bergaduh masuk surat khabar. Mestilah pengetua kena mesyuarat beb. Nak rotan terus tak ada guna sebab Kementerian Pelajaran sudah tahu. Media sudah tunjuk. Dan semua memberi tekanan kepada sekolah. Salah siapa mereka bergaduh? Dan lepas itu, saya boleh bayangkan tiap- tiap malam, berita di televisyen akan tunjukkan adegan bergaduh di sekolah lain pula. Orang awam mula memberi pendapat menerusi surat di akhbar- akhbar. Hujung minggu pula, ada satu muka surat penuh menunjukkan pendapat Ketua Pengarah Pelajaran/ ahli politik/ ulama. Dan lepas tu senyap saja. Tapi yang paling malu, sekolah yang menjadi perintis bergaduh tadi. OK, yang bayangan tadi tak ada pun dalam filem ini. hehe.



"Kita pisahkan mereka mengikut kaum masing- masing", cadang Cikgu Zainal. Dalam 10 minit pertama, filem ini sudah mahu menunjukkan kedangkalan Cikgu Zainal yang dianggap sebagai seorang yang kanan tapi dianggap antagonis dalam filem ini.

Mengasingkan pelajar tak akan menjadi, cadangan diadakan ceramah agama dan motivasi pula dikatakan untuk jangka masa pendek sahaja. Akhirnya pengetua memilih cadangan teater oleh Cikgu Anne. Tapi cita- citanya lebih kepada untuk menunjukkan perubahan kepada pihak kementerian dan pihak media. Perubahan untuk siapa? Prestasi sekolah atau budak-budak?

Kemunculan Encik Azman sebagai guru teater banyak membawa perkara (contoh: sindiran) kepada banyak pihak.

"I tak perlu masuk baju kat dalam ha? Sikat rambut belah tepi kan?", Encik Azman. Dan beberapa kemudian, Cikgu Zainal muncul dengan perwatakan yang sedemikian. Kalau cikgu tu dengar, mesti menyakitkan oh.

Encik Azman juga datang sebagai bekas pelajar yang pernah dibuang oleh pengetua di sekolah yang sama. Banyak yang sudah berubah, tapi masih ada juga tak berubah. Yakni pengetua tu sendiri. Menjatuhkan hukuman tanpa mendengar apa yang budak- budak tu ingin jelaskan sebagaimana yang telah terjadi kepada Encik Azman.


Encik Azman telah dilakonkan oleh Nam Ron yang juga salah seorang pengarah dan penulis lakonlayar filem ini. Bila saya tengok filem ini, yang saya tahu ialah saya jatuh hati dengan Encik Azman. Dia nampak sangat real. Nam Ron bagaikan membawa jiwa dan semangatnya dalam diri Encik Azman. Dia tidak nampak seperti berlakon tapi lebih kepada menjadi dirinya sendiri dalam kisah yang baru.

Perwatakan Cikgu Zainal yang mungkin pada luarannya seperti guru tipikal yang harus berbaju kemas. Ambil tahu masalah pelajar. Tapi personaliti guru ini akan membuatkan anda rasa "eeeee". Sebab cikgu ni suka berkepit dengan pengetua walhal bukan guru dalam bahagian pentadbiran. (Terdapat adegan yang menunjukkan perbualan Cikgu Zainal di bilik guru, dan bukannya di pejabat).

Secara ringkasnya, kisah ini menampilkan dua kumpulan pelajar yang bermusuhan (Melayu-Cina) dengan minoriti tersepit di tengah- tengah (India). Bagi mengembalikan maruah sekolah, persatuan teater telah ditubuhkan hasil kerjasama Cikgu Anne-Encik Azman (Cina- Melayu). [haha. nampak tak ironi di situ?]. Pelbagai usaha telah dilakukan bagi menyatukan pelajar- pelajar tersebut. Namun di sebalik kehidupan persekolahan, mereka mempunyai masalah dalam rumah yang sedikit banyak mencetuskan pergaduhan antara dua kumpulan ini. Ayah Khalil mencetuskan emosi apabila terpaksa bersaing dengan bangsa Cina dalam mengendalikan syarikat dan akhirnya mengambil cara mudah untuk mendapatkan tender. Heng pula perlu membantu ayahnya di gerai kecil. Mereka perlu berusaha keras kerana ayah Heng kata, "Kita Cina kena kerja. Tak kerja kita mati" dan "Kita bukan Melayu. Boleh makan, tinggal percuma". Bila kedua-duanya menghadapi tekanan, masing- masing mencari haluan dengan keluar dari rumah. Rumah= masalah. Di luar= aahhhhh. Lega!

Bagi saya, Linda merupakan watak tempelan. Dia nampak tidak penting tapi diperlukan. Tapi pandangan saya berubah apabila pementasan mereka dipentaskan (untuk tontonan Ketua Pengarah Pelajaran dan wartawan- wartawan).



"Cikgu kata aku bodoh, pemalas. Aku pergi sekolah nak belajar tapi diorang semua sibuk fikirkan tentang rating sekolah. Nak jadikan sekolah nombor satu konon. Eh, nombor satu untuk siapa? Untuk diorang atau kitorang? Aku tak suka hidup aku ditentukan. Aku nak tentukan hidup aku sendiri. Dekat sekolah aku dilarang untuk berfikir. Tapi aku diajar untuk mengikut. Ini bukan sekolah namanya, ini penjara!"- Linda.

Di sini, kemarahan Linda benar- benar meletus dan cikgunya yang mendengar cuma buat muka lain macam (mungkin setuju atau mungkin tidak setuju) dan pengetua ternganga. Amarah seorang perempuan bukan daripada perwatakan yang kuat bergaduh tapi lebih kepada luahan daripada mulutnya. Dan nampak di sini kekuatannya terserlah.

Bila menonton babak ini, saya teringat di sekolah. Bukan untuk membelakangkan guru- guru yang saya tahu jasa mereka, tapi cuma terfikir. Selepas percubaan SPM, suatu mesyuarat telah diadakan antara pihak pengetua dengan guru- guru. Bagi kelas pertama, pengetua bertanya mengapakah pelajar ini tidak mendapat bagus untuk subjek itu, ini dan sekian- sekian. Mesyuarat itu hanyalah antara guru- guru. Tapi, mengapa tidak pengetua berjumpa sendiri dengan pelajar. Tanyakan masalah kami, sebab tidak mendapat keputusan yang memberasangkan. Guru hanya di sekolah dan kami mempunyai kehidupan di luar sekolah. Adakah cikgu tahu jadual belajar kami? Adakah cikgu tahu masalah kami? Adakah cikgu memahami jiwa kami? Mengapa kami sendiri diwakilkan oleh cikgu? Adakah semua ini menjadi beban cikgu semata- mata?

Banyak yang boleh dikupas dalam filem ini. Bagai semua mahu diletakkan dalam filem ini tapi masih nampak tersusun dan teratur. Yah, kadang- kadang saya sendiri boleh jadi fobia dan rasis. Semuanya takut. Beberapa hari lepas, saya terjumpa rakan di sebuah restoran. Dan saya memandangnya sebagai seorang kawan. Yang menghabiskan masa bersama- sama dahulu walaupun tidak lama. Dan saya terlupa dia bangsa Cina.

Untuk menghapuskan rasis senang. Pandang mereka sebagai kawan, sebagai manusia. Dan pufff hilanglah semua itu.


kredit kepada: http://www.flickr.com/photos/pusat_komas/

Sabtu, 20 Februari 2010

Mr. Bean

Dia ada seorang sahabat baik. Dan melayannya sangat baik. Mereka pergi berkelah bersama- sama. Makan bersama- sama. Setiap kenangan manis dicipta bersama- sama. Dan sahabatnya ialah Teddy. Dibiarkan hidup dalam ilusi Mr. Bean. Sampai nak makan makanan Teddy pun, minta izin dulu. Nak curi duit Teddy dalam tabung pun, kena senyap- senyap. Nanti Teddy tahu.

Teddy pun ada tabung sendiri. Comel kan.




Sabtu, 13 Februari 2010

kanak- kanak

kanak- kanak
kalau diajar abc
masih teruja untuk menyebut alif ba ta
kalau pagi- pagi mereka mengeja perkataan rama- rama
petang pula, membaca iqra'

mereka yang kalau dimanja, mahu sering dipeluk atau didukung
bila rasa diperlukan, tangan kita dipegang erat
mereka yang dilayan bagai kawan
akan diajak bermain kejar- mengejar bersama mereka
kalau dihimpit, di situ jugalah teriak kedengaran
kalau disergah, lari semacam

kanak- kanak
masih kecil, mereka suka mewarnakan warna kelabu
kerana masih tidak dapat membezakan hitam dan putih
sekalipun mereka mahu saja jujur!